Malam Solidariti Switch Off'14 diteruskan di Zoo Negara - Penganjur
Syafique Shuib
November 9, 2014 13:18 MYT
November 9, 2014 13:18 MYT
Malam Pertemuan Penggiat Seni Sempena Kempen Switch Off’14 akan diteruskan di lokasi baru iaitu di Dataran Zoo Negara pada 11 November ini.
Acara berkenaan pada awalnya dijadual akan diadakan di Dataran Karyawan FINAS namun terpaksa dipindahkan ke lokasi baru atas beberapa sebab.
Penggerak kempen, Jurey Latiff Rosli ketika dihubungi Astro AWANI mengakui program berkenaan sepatutnya diadakan di FINAS tetapi menganggap ia sebagai lokasi yang tidak sesuai ekoran ketiadaan Ketua Pengarah FINAS, Kamil Ahmad Mohd Othman yang masih berada di luar negara.
“Apabila beliau pun tidak ada dan kita tidak dapat melakukan perbincangan dengan beliau, jadi kita lihat ia sebagai lokasi yang tidak sesuai.
“Kami juga mahukan lokasi yang lebih besar dengan kehadiran lebih ramai ahli. Jadi lokasi di Zoo Negara lebih baik,” kata Jurey
Beliau yang merupakan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) berkata fokus utama pada malam berkenaan adalah penyatuan penggiat industri.
“Kami mahu bersatu dan mendengar keluhan akar umbi. Bagi mereka peka dan dengar 11 perkara yang akan dibentangkan. Kami juga akan megumpul tandatangan dan barulah memorandum berkenaan akan diberikan kepada pihak FINAS. Namun tarikh berkenaan belum ditentukan.
“Selepas itu, kami pun akan berjumpa dengan pihak stesen televisyen dan akan berbincang dengan mereka,” jelas Jurey.
Seribu karyawan dijangka hadir pada kempen di Dataran Zoo Negara itu nanti.
Antara persatuan yang terlibat dalam memberi sokongan kepada Switch Off '14 adalah Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Pos-Produksi & Animasi Malaysia (POSTAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penyanyi Penyanyi Tanah Air (PAPITA), Persatuan Penyiar Malaysia (PENYIAR), Persatuan Kebajikan Penghibur India Malaysia (MIEWA), Persatuan Penulis Kreatif Malaysia (CGM) dan Pertubuhan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (PERKAP).
Antara 11 tuntutan Switch Off'14 adalah:
1. Mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif
2. Menekan hak IP (harta Intelek) yang lebih adil dan munasabah
3. Menaikkan kadar harga dan menyelaraskan harga belian konten di stesyen tv
4. Pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70% karya tempatan
5. Penguatkuasaan polisi Made In Malaysia (MIM) dan Paducitra
6. Menubuhkan satu badan atau one stop centre yang mengawal selia industri TV secara langsung
7. Melantik wakil industri yang dipersetujui oleh pemain industri dalam peranan membuat dasar industri
8. Menyediakan slot TV khusus berbentuk patriotik
9. Skim pengecualian cukai syarikat korporat yang menaja penerbitan program TV tempatan bagi
pembelian peralatan teknikal
10. Skim insurans khusus untuk penggiat industri
11. Dana dan geran khusus untuk memajukan industri TV tempatan.