Malam gemilang Azlina, Liza Aziz

Saharudin Musthafa
November 14, 2020 19:06 MYT
Kmunculan Azlina dan Liza dalam acara ABPBH malam tadi mengubat kerinduan peminat-peminat mereka.
KUALA LUMPUR: Tidak perlu kerap muncul dalam majlis-majlis hiburan, jauh sekali untuk berkongsi kisah hidup mereka di akaun media sosial meletakkan penghibur adik-beradik, Azlina Aziz dan Liza Aziz dalam kelas mereka tersendiri.
Barangkali, kepada angkatan generasi muda, pengaruh Azlina, 58, dan Liza, 56, tidak begitu dekat dengan mereka.
Berbeza pula kepada golongan yang pernah membesar dengan lagu-lagu kedua-dua penghibur itu sedia maklum, pesona Azlina dan Liza tiada tandingannya.
Lihat sahaja pada kemunculan mereka dalam acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) malam tadi, seluruh peminat industri hiburan memberikan pujian yang tinggi.
Semuanya kerana sudah lama kelibat anak kepada pasangan legenda filem Melayu Jalan Ampas, Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarhamah Noormadiah tidak kelihatan di televisyen.
Bahkan, amat jarang sekali untuk membaca berita mengenai mereka di mana-mana media tradisional.
Justeru, apa yang sebetulnya mendorong Azlina dan adiknya, Liza muncul di pentas ABPBH semalam?
Kata Azlina, persetujuan dia dan Liza untuk menghiburkan peminat di acara berkenaan bertitik tolak pada hasrat mereka untuk menterjemahkan penghargaan buat seluruh rakan-rakan industri hiburan.
Azlina memahami bahawa selama ini mereka amat jarang muncul menghiburkan penonton dalam acara berskala besar seperti itu.
“Pada mulanya agak keberatan (untuk menyanyi) tapi bila kenangkan jasa dan kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan media hiburan selama ini dan penganjur pun memberikan kebebasan memilih lagu, tanpa berfikir panjang kami terima dengan senang hati,” kata Azlina kepada Astro AWANI.
Secara peribadi, penyanyi yang pernah melonjak popularitinya dengan lagu Wajahmu Di Mana-Mana, Wajah Siapakah Di Hati dan banyak lagi mengakui, dia dan Liza tergamam dengan reaksi peminat yang dikongsi di media sosial.
Sekalipun maklum balas yang diperoleh sangat menyenangkan, namun, Azlina memberitahu, persembahan malam tadi masih ada kekurangan pada dirinya dan Liza.
“Masih ada kekurangan… kalau boleh nak buat yang lebih baik lagi. Apa pun kami puas dan berbesar hati kerana dapat menghiburkan peminat yang selama ini kami rindui
“Ribuan terima kasih dan terharu di atas maklum balas positif daripada semua yang kami sayangi,” kata Azlina lagi.
Kesempatan menghiburkan khalayak di ABPBH itu juga diambil oleh Azlina dan Liza dengan merakamkan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang kental melalui saat-saat yang sukar menerusi lagu Pengorbananmu.
Kata Azlina, seperti rakyat Malaysia lain, dia dan Liza juga amat menghargai pengorbanan besar para petugas kesihatan khususnya yang mengenepikan rasa penat semata-mata untuk memastikan wabak COVID-19 dapat dikekang.
“Kepada semua barisan hadapan, kami hargai jasa dan pergorbanan anda semua, jutaan terima kasih. Kami doakan agar anda semua diberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran,” kata Azlina berkongsi penghargaan buat petugas-petugas kesihatan dan keselamatan negara.
Azlina dan Liza yang kali pertama bekerjasama dengan Noki K – Clique juga menyatakan rasa terujanya kerana dapat berkongsi pentas bersama penyanyi generasi baharu itu.
Pengalaman itu, katanya, bagaikan melengkapkan empat dekad perjalanan seninya.
#Azlina Aziz #Liza Aziz #penghibur legenda #ABPBH #Wajah Siapakah Di Hati #dua beradik #Aziz Jaafar #Noormadiah
;