Malam Gala PETRONAS Malaysia Grand Prix 2015

Maznur Ain
April 1, 2015 05:46 MYT
Malam Gala The Petronas Grand Prix 2015 menyaksikan kumpulan The Jackson beraksi di pentas berprestij dunia di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Persembahan kemuncak malam Gala PETRONAS Malaysia Grand Prix 2015 yang dinantikan menyaksikan kumpulan The Jackson beraksi di pentas berprestij dunia Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Kumpulan The Jackson membuat persembahan pada Malam Gala Petronas Grand Prix - Astro AWANI / Shahir Omar
Merupakan antara kumpulan lagenda yang masih bertahan sehingga kini, The Jackson yang dahulu dikenali sebagai Jackson 5 terdiri daripada Jermaine, Jackie, Marlon dan Tito Jackson.
Dimulakan jam 9.30 malam, kemunculan mereka mendapat sorakan gemuruh oleh peminat yang merindukan lagu mereka. Rata-rata peminat yang hadir bukan sahaja dari generasi X yang membesar dengan lagu The Jackson, malah generasi lapisan 20-an turut menerima dan menikmati persembahan mereka.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan pada malam itu ialah, I Want You Back, Stop The Love You Save dan I'll Be There.
Konsert malam itu turut diselitkan dengan segmen memperingati mendiang Michael Jackson yang merupakan adik dan juga ahli kumpulan The Jackson, melalui lagu Beat It.
Jermaine Jackson menyanyikan lagu Beat It sempena memperingati mendiang Michael Jackson - Astro AWANI / Shahir Omar
Malam Gala The Petronas Grand Prix 2015 ini yang berlangsung pada 26 Mac 2015 bertempat di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur dimulakan dengan acara karpet merah.
Bekas pengaraca Fashion Police, George Kotsiopoulos berganding bersama pelakon Nur Fazura bagi mengacara acara karpet merah.
Nur Fazura dan George Kotsiopoulos menemu-bual salah seorang daripada tetamu yang hadir pada malam gala tersebut - Astro AWANI / Shahir Omar
Antara tetamu kehormat yang hadir pada acara malam itu, ialah Tan Sri Mokhzani Mahathir, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang atau SIC, dan Lim Han Weng, Pengerusi Eksekutif Yinson Holdings yang merupakan penganjur bersama acara tahunan berprestij ini.
Tan Sri Mokhzani Mahathir memberi ucapan pada Malam Gala Petronas Grand Prix 2015 - Astro AWANI - Shahir Omar
Turut hadir mencemar duli ialah Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom.
Malam Gala diteruskan dengan acara lelongan amal, dan antara barangan yang dilelong pada malam itu ialah cincin berlian putih Mouawad dari koleksi Rosette yang pernah dipakai oleh selebriti terkenal seperti Jennifer Lopez dan Angelina Jolie.
Barangan lain yang dilelong ialah koleksi terhad jam tangan Jaeger-LeCoultre yang hanya terdapat 250 utas di seluruh dunia.
Koleksi lukisan pelukis tempatan Suzlee Ibrahim dan sut perlumbaan yang pernah dipakai oleh pelumba F1 Lewis Hamilton dan Nico Rosberg turut menjadi tumpuan.
Sejumlah 226 ribu ringgit nilai barangan lelongan dikumpul dan disalurkan kepada Badan Amal Bidara Kedah.
Pertunjukan fesyen daripada ikon fesyen terkenal, Cameron Silver bertemakan Vintage Haute Couture turut diperagakan pada malam itu.
Cameron Silver bersama dengan model yang memperagakan rekaan beliau - Astro AWANI / Shahir Omar
Acara karpet merah malam Gala PETRONAS Malaysia Grand Prix 2015 akan ditayangkan pada 4 April ini jam 9.30 malam di saluran 501 Astro AWANI yang merupakan penyiar rasmi acara ini.
#Cameron Silver #F1 #Fazura #George Kotsiopoulos #Petronas Malaysia Grand Prix 2015 #The Jackson