Majlis sambut menantu Sabri Yunus dan Angeline Tan meriah, diinspirasi 'bekwoh' era 70-an

Gempak
Februari 29, 2024 19:00 MYT
Sabri dan Angeline nampak teruja ketika menjayakan majlis menyambut menantu yang berlangsung di Akademi Nik Rashiddin baru-baru ini. -Foto Facebook Marc Fadli
PASANGAN pelakon, Sabri Yunus dan Angeline Tan telah melangsungkan majlis menyambut menantu baru-baru ini.
Momen indah majlis berkenaan dikongsikan menerusi hantaran Facebook milik seorang jurugambar yang dikenali sebagai Marc Fadli.
Hasil bidikan jurugambar itu jelas menunjukkan majlis yang berlangsung di Akademi Nik Rashiddin, Bachok, Kelantan ternyata disambut dengan begitu meriah.
Difahamkan, tema acara menyambut menantu itu mengambil inspirasi daripada majlis bekwoh (kenduri dalam loghat Kelantan) pada era 70-an.
Antaranya pemilihan lokasi, tema hiasan dalaman dan juga busana yang digayakan oleh mempelai.
Paling menarik, terdapat beberapa tradisi lama yang dihidupkan kembali dalam majlis ini antaranya perlawanan silat, permainan tradisional seperti congkak dan wau.
Tidak cukup dengan itu, pemilihan lauk-pauk yang sinonim dengan masakan kampung juga telah menyuntik perasaan nostalgia bagi tetamu yang hadir.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Haji dan pelakon terkenal Mustapha Kamal juga turut hadir memeriahkan lagi majlis berkenaan.
Sementara itu, di ruangan komen juga rata-rata netizen memuji tema majlis itu kerana berjaya mengembalikan memori zaman 70-an selain menghidupkan kembali adat Melayu yang semakin pudar dalam majlis perkahwinan.
Antara komen yang diterima adalah:
“Cantik... Tak akan hilang adat dan cara Melayu di dunia."
“Style sungguh gini, sopan, cantik, penuh adat Melayu."
“Teringinnya nak merasai suasana begitu zaman dulu-dulu. Buat Pok Ya dan isteri semoga berbahagia hingga ke syurga.”
Terdahulu, pernikahan Sabri dan Angeline Tan pada 14 Oktober 2023 menjadi viral kerana persahabatan mereka sebagai anak seni yang berakhir di jenjang pelamin setelah kedua-duanya bergelar duda dan ibu tunggal buat satu tempoh masa yang panjang.
Sabri dan Angeline masing-masing meraih populariti menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Menerusi sitkom berkenaan, mereka menggalas watak Wan Ismail Golok dan Lucy. -Gempak
#sabri yunus #Angeline Tan #majlis menyambut menantu #Akademi Nik Rashiddin
;