"Maintenance makin naik, cuma saya tak tunjuk depan orang" - Wany Hasrita

Gempak
November 10, 2017 14:00 MYT
Muncul dengan lagu terbaharu Rintihan Rindu pada Oktober lalu, Wany tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menjadikan single keduanya meledak seperti lagu terdahulu.
PENYANYI muda berbakat besar, Wany Hasrita menjelaskan dia enggan bermewah-mewah dan berbelanja sakan membeli barang yang bukan keperluan.
Kata Wany, 24, walaupun dia mampu untuk membeli barangan berjenama dia masih memilih untuk kekal dengan gaya bersederhana dan hanya membeli barangan keperluan sahaja.
"Kalau orang nak cakap saya merendah diri, rasanya saya masih seperti Wany Hasrita yang dulu. Sama sahaja tidak berubah.
"Cuma perbelanjaan untuk 'maintenance' yang semakin bertambah tetapi cara saya bukan suka menunjuk-nunjuk pada orang ramai apa yang saya beli atau pakai setiap hari.
"Ya, memang betul apabila sudah menjadi artis saya perlu lebih menjaga penampilan diri dan menambah koleksi pakaian saya supaya lebih nampak bergaya.
"Tetapi jujur saya katakan saya bukan peminat barangan berjenama. Mungkin belum sampai tahap saya lagi, kecenderungan saya ke arah barangan yang ringkas dan praktikal," katanya kepada Astro Gempak.
Wany popular menerusi lagu Menahan Rindu yang menjadi fenomena sejak hujung tahun 2016.
Muncul dengan lagu terbaharu Rintihan Rindu pada Oktober lalu, Wany tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menjadikan single keduanya meledak seperti lagu terdahulu.
"Perlahan-lahan pendengar mula memberikan maklum balas terhadap lagu kedua saya dan ia sebenarnya sangat memberangsangkan.
"Sama sebenarnya seperti lagu Menahan Rindu, bukannya sekali keluar terus popular," kata Wany optimis.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @wanyhasrita
#Astro #Menahan Rindu #penyanyi #popular #Tajol #Wany Hasrita
;