The Maid bakal cetus fenomena

Asyraf Roslan
Januari 6, 2021 19:32 MYT
The Maid yang berdurasi selama 30 minit ini bakal bersiaran pada setiap hari Rabu pukul 9.30 malam mulai 6 Januari secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
SELERA penonton Melayu merupakan faktor utama yang diambil kira oleh Astro sebelum menerbitkan sesebuah produksi.
Dalam masa sama, kandungan yang bersifat segar dan berkualiti menjadi tanda aras Astro.
Kerana itu, dalam meneruskan trek rekodnya, Astro bakal menayangkan sebuah lagi tayangan hebat buat pelanggan-pelanggannya iaitu drama bersiri ‘The Maid’.
Bakal memulakan tayangan malam ini, 'The Maid' dianggap sebagai penerus kecemerlangan siri program The House yang mencetus fenomena baru-baru ini.
The Maid merupakan siri terbaharu terbitan portal hiburan Gempak, menerusi Gempak Original Series.
Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, penerbitan siri ini merupakan salah satu usaha untuk berikan kandungan segar dan berkualiti kepada penonton yang sentiasa mahukan sesuatu yang baharu.
“Rentetan kejayaan program realiti ‘The House’ musim keenam terbitan Gempak yang telahpun disiarkan di platform televisyen dan digital baru-baru ini, kami sebagai peneraju kandungan alaf baharu terus komited dalam membawakan lebih banyak pengisian segar dan berkualiti kepada penonton.
"Tampil dengan transisi berbeza, ini merupakan kali pertama di bawah payung penjenamaan Gempak Original Series bakal mempersembahkan drama bersiri 10 episod yang padat dengan jalan cerita penyiasatan dalam bentuk komedi thriller untuk tayangan di saluran Astro Ria," katanya dalam satu kenyataan.
Drama bersiri ‘The Maid’ dicetuskan oleh tenaga kreatif Gempak dan diarahkan oleh sutradara Helmi Yusof manakala Michael Ang terlibat selaku penerbit drama ini.
Apa yang menariknya, menerusi drama ini, penonton dapat menyaksikan kemunculan pertama Mira Filzah selepas bergelar isteri selain turut dimeriahkan dengan kehadiran Datin Paduka Eina Azman yang sudah sekian lama tidak bergiat secara aktif dalam dunia lakonan.
“Disokong dengan mutu lakonan yang mantap, plot penceritaan yang menarik serta kualiti produksi, kami yakin drama ‘The Maid’ mampu menambat hati penonton, lebih-lebih lagi sejak trailer, video TikTok, teaser dan poster promosi yang dikongsikan menerusi platform media sosial telah memperlihatkan keterujaan peminat yang sudah tidak sabar untuk menyaksikan drama ini,” kata Raja Jastina lagi.
Drama bersiri 10 episod bergenre komedi thriller diarahkan oleh Helmi Yusof itu dilakonkan oleh Mira Filzah, Ezzaty Abdullah, Eina Azman, Sherry Alhadad dan Norman Hakim.
'The Maid' turut menampilkan pengacara Gempak TV, Isha Norsham yang memengang watak sebagai Ratu.
The Maid’ yang berdurasi selama 30 minit ini bersiaran pada setiap hari Rabu pukul 9.30 malam mulai 6 Januari (hari ini) secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Untuk pilihan yang lebih fleksibel anda juga boleh strim drama bersiri ini menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand.
#The Maid #gempak #Astro Gempak #Gempak Original Series #Mira Filzah #Norman Hakim #Ezzaty Abdullah #Eina Azman #Sheery Alhadad #Isha Norsham
;