Mahu cari saham akhirat, Nora kongsi rezeki bersama petugas barisan hadapan
Astro Awani
Jun 5, 2021 19:03 MYT
Jun 5, 2021 19:03 MYT
KUALA LUMPUR: Memahami pengorbanan besar barisan petugas barisan hadapan, penyanyi terkenal, Datuk Nora mengambil inisiatif untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan buat golongan berkenaan.
Tidak hanya usahanya sendirian, sebaliknya, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu juga mendapat sokongan padu daripada rakan-rakannya dalam usaha menterjemahkan rasa terima kasih itu.
Projek infak makanan kepada petugas-petugas sama ada yang menguruskan krisis kesihatan dan menjaga keselamatan negara khususnya selain pekerja-pekerja kebersihan kini menjadi tumpuanya yang diasaskan bersama pasukannya.
Idea projek infak sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, kata Nora, tercetus selepas beliau menerima pertanyaan daripada kenalan-kenalannya yang meminta khidmat menyediakan juadah untuk petugas barisan hadapan.
Menurutnya, memandangkan beliau sendiri mengasaskan perniagaan makanan di bawah Team Secukup Rasa, justeru, khidmatnya diyakini oleh pelanggan yang sering berurusan dengannya.
“Saya bersyukur dengan kepercayaan sahabat-sahabat yang meminta kami di Secukup Rasa menyediakan makanan dan mengedarkannya kepada petugas-petugas barisan hadapan.
“Kami sebagai penyedia perkhidmatan akan memenuhi kehendak para dermawan yang mahu sama-sama berkongsi rezeki dengan hero-hero Malaysia yang tidak pernah kenal erti penat, letih atau kepayahan dalam membantu seluruh rakyat keluar daripada keperitan pandemik COVID-19 ini,” kata Nora dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Sabtu.
Menurut Nora, khidmat penyediaan juadah tengah hari antaranya set nasi tomato, nasi beriyani dan nasi kerabu itu bukanlah bersifat mengaut keuntungan.
Sebaliknya, menerusi projek infak ini, beliau sendiri mahu mengambil kesempatan mencari saham akhirat.
“Inilah platform terbaik untuk saya dan pasukan saya mencari saham akhirat. Alhamdulillah keprihatinan rakan-rakan itu telah membuka ruang untuk saya sendiri menyalur sumbangan dengan cara kami.
“Projek infak ini hakikatnya adalah tanda terima kasih rakan-rakan dan saya sendiri. Saya yakin, kita semua memahami bahawa dalam setiap rezeki kita terdapat juga rezeki orang lain.
“Jadi, saya dengan penuh rasa insaf dan kesyukuran, saya usahakan projek infak ini. Kalau ada lebih ramai yang mahu bersama kami, maka lebih banyak makanan dapat diedarkan dan kita semua akan memperoleh manfaatnya,” ujar Nora yang mengakui hatinya sangat tenang dan lapang dengan melakukan kerja-kerja kemanusiaan ini.
Kata Nora, sebagai permulaan, projek infak makanan itu diedarkan kepada pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Banting Selangor pada Jumaat.
Infak sajian tengah hari itu, jelas Nora, daripada sahabatnya, Prof Dr Rushdi Ramli.
“Pasukan saya memenuhi hasrat dan keinginan Prof Dr Rushdi yang mahu meraikan frontlines dengan menghantar ke IPD Banting,” sambung Nora lagi.
Berdasarkan kemampuan, Nora dan pasukannya boleh menyediakan antara 100 hingga 200 pek makanan sehari dengan penghantaran dibuat pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Namun, sekiranya terdapat permintaan pada hari-hari lain, pihaknya akan berusaha untuk memenuhinya.
“Sebetulnya, saya sendiri mahu turun padang untuk mengantar sendiri juadah kepada frontliners… namun memandangkan keadaan tidak mengizinkan, jadi saya hanya mampu meminta kakitangan penghantaran untuk melakukannya.
“Sedih dan ralat kerana tidak dapat berjumpa petugas-petugas barisan hadapan. Saya sentiasa mendoakan agar segala usaha dan kebaikan mereka sentiasa dirahmati Allah SWT,” kata Nora sambil memaklumkan terdapat permintaan untuk mengedar pek makanan sehingga sejauh Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan.
Anda yang berminat untuk turut sama dalam projek infak makanan bersama Nora boleh menghubungi Jaja di talian 0192157752.
“Saya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bersama-sama Team Secukup Rasa untuk menyertai projek infak ini untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan kita,” kata Nora.
#Nora
#Secukup Rasa
#infak makanan
#frontliners
#petugas barisan hadapan
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19