Mahligai impian lenyap, Ebby Yus ubati duka bina rumah baharu
Dr Azlinariah Abdullah
Mac 24, 2022 09:30 MYT
Mac 24, 2022 09:30 MYT
TRAGEDI banjir pada 18 Disember 2021 masih terpahat jelas dalam ingatan.
Ditimpa musibah akibat cuaca ekstrem dan taburan hujan yang tinggi, kediaman pelakon dan pelawak Ebby Yus di Hulu Langat, Selangor turut hancur sekelip mata dek bencana alam yang tidak diduga itu.
Apa cerita terbaharu Ebby menjelang Ramadan, selepas hampir empat bulan mahligai impiannya lenyap?
"Ya, sabar duhai hati, kurang 10 hari lagi, saya akan mendiami rumah sendiri hasil wang titik peluh berdekad lamanya sebagai anak seni.
"Rumah kecil sedikit tetapi cukup untuk berteduh daripada hujan dan panas. Lebih penting, jauh sedikit daripada sungai dan kurang terdedah untuk dihanyutkan lagi,'' kata Ebby, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat, baru-baru ini.
Rumah baharu dibina itu bernilai lebih kurang RM56,000, dibangunkan dengan bantuan kerajaan selepas rumah lama yang diusahakan pembinaannya musnah dalam banjir Disember lalu.
Hanya selepas enam bulan siap pembinaan rumah baharu ini, ia boleh diubah suai mengikut rekaannya sendiri.
"Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, rumah baharu dibina jauh dari tebing sungai, kira-kira 50 meter dari tapak asal.
"Lokasinya lebih ke belakang dan saya harap sangat tiada lagi bah besar berulang seperti 1971 dan tahun lepas," ujar Ebby.
Katanya, selepas enam bulan, rumah baharu itu akan dibina lebih luas dan lebih selesa bagi membolehkan keluarga besarnya berkumpul.
"Masa kejadian ramai kawan-kawan bagi duit. Jadi, saya nak guna duit itu untuk sambung rumah. Lagi pun, biar mereka nampak hasil duit mereka, iaitu saya bina rumah."
"Saya pun secara peribadi mahu bina rumah ikut cita rasa sendiri dan biarlah usaha itu nampak pada rumah itu nanti. Inilah nilai harga pembabitan saya dalam industri seni. Jadi, saya juga tidak lagi menyewa,
"Alhamdulillah jika dapat duduk di rumah sendiri, hasil titik peluh sendiri,'' katanya, penuh harapan.
Bencana banjir 2021 masih tidak dilupakan
Menyegarkan semula ingatan dengan mengimbau peristiwa 18 Disember 2021, Ebby ditimpa insiden menyayat hati apabila rumah kayu yang dibina hasil pendapatan sendiri dengan kos RM200,000 dan hampir siap, musnah sepenuhnya dalam sekelip mata akibat banjir lumpur yang teruk di Hulu Langat, termasuk di kampungnya, Paya Lebar.
"Sepatutnya rumah itu (yang lenyap) jadi tempat perhimpunan keluarga untuk sambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Tetapi semuanya kehendak Allah. Jadi, kita duduk dulu rumah baharu. Nanti boleh ubah suai,'' kata lelaki bujang ini yang menganggap rumah itu sangat istimewa kerana dibina hasil titik peluh sendiri selama tiga dekad dalam gelanggang seni.
Sentiasa bersikap optimis, Ebby mengakui, banyak hikmah dikutip sejak peristiwa banjir menimpa dirinya.
"Sekurang-kurangnya, apabila bencana berlaku, orang tahu rumah saya musnah. Tetapi orang juga tahu, artis juga ada usaha, dan menyimpan wang untuk masa hadapan. Namun setakat itu sajalah pinjaman yang diberikan Allah," katanya.
Dia turut mengakui, sifat berlapang dada menerima setiap takdir yang tertulis membuatkan dirinya kuat untuk memulakan fasa baharu dalam kehidupan, demi keluarga tercinta.
Sementara itu, Ebby turut berkongsi hasratnya membina surau kayu di kawasan rumah baharunya itu dan telah mengupah tukang untuk merealisasikannya.
"Tidak lama lagi siap. Awal-awal, saya rasa nak buat pondok, tetapi tukar kepada surau. Boleh solat berjemaah beramai-ramai. Golongan musafir pun boleh menumpang tidur di surau ini, jika mahu," kata anak seni berjiwa besar ini.
Mengenai kerjaya seninya pula, dia akui tidak putus-putus mendapat tawaran berlakon walaupun adakalanya terganggu dengan tahap kesihatan yang kurang menyenangkan.
Ketika ini, Ebby masih giat menjalankan penggambaran program terbitan Astro, Mencari Sepahtu Yang Hilang selain menjadi moderator di Garasi TV.
Malah, secara tetap, dia juga merupakan deejay di Negeri FM setiap Isnin hingga Rabu dan aktif membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan kepada penduduk memerlukan, bersama rakan artis.
"Ada juga saya terima tawaran penggambaran, tetapi ada juga terpaksa ditolak kerana masalah kesihatan. Apabila cuaca panas, mata saya akan berpinar-pinar, sebab itu saya tolak, tidak mahu susahkan sesiapa sebenarnya."
Dimasukkan ke hospital, namun Ebby tabah
Sebelum ini, Ebby disahkan menghidap beberapa penyakit antaranya buah pinggang dan jantung.
Malah dia pernah dimasukkan ke hospital di Maldives selepas serangan jantung di atas pesawat ketika dalam perjalanan ke Mekah, Arab Saudi untuk menunaikan umrah.
"Doakan semuanya dipermudah, rezeki lancar, kesihatan baik. Saya bukan suka meminta-minta cuma inginkan doa daripada semua supaya saya akan terus beristiqamah dengan kekuatan dan kesabaran ini, " kata Ebby mengakhiri perbualan.