Mahkamah larang Armin dekati Ziana Zain sepanjang kes berlangsung
Gempak
Mei 28, 2018 18:47 MYT
Mei 28, 2018 18:47 MYT
Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengekalkan syarat jaminan yang melarang suami penyanyi popular, Ziana Zain iaitu Armin Zaharin untuk menemui anak yang didakwa dicederakannya, tiga bulan lalu.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin memutuskan demikian kerana ia sudah tertakluk dengan syarat jaminan terhadapnya yang dibenarkan mahkamah sebelum ini.
Selain mangsa yang didera itu, ia termasuk tidak membenarkan tertuduh, Armin atau nama sebenarnya Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, mendekati pengadu iaitu Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, sepanjang kes berlangsung.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak termasuk tiga anak tertuduh yang lain berikutan ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Terdahulu, Armin yang diwakili peguam Mohd Rizal Bahari mengemukakan permohonan itu secara lisan dengan menyatakan hasrat Armin mahu menemui anaknya pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Turut hadir ketika prosiding itu, peguam pemerhati dilantik Ziana iaituLuqman Mazlan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Jun depan bagi pengurusan kes dan tarikh perbicaraan.
Pada 15 Mei lalu, Armin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu didakwa sengaja menyebabkan luka dan lebam di bahagian tangan ke atas anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan rotan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam di sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada hari sama, Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai berhubung kes permohonan cerai yang difailkan Ziana.
Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar memutuskan demikian selepas Armin enggan melafazkan talak secara baik kerana mahu menemui semua anak mereka.
Pasangan yang bernikah pada Mei 1998 itu dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. - Sumber: mStar