Maher Zain jumpa Perdana Menteri, doakan Malaysia terus sejahtera
Madiha Abdullah
Ogos 9, 2016 21:09 MYT
Ogos 9, 2016 21:09 MYT
PENGHIBUR antarabangsa terkenal, Maher Zain, berkesempatan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, siang tadi.
Maher yang berada di Malaysia selama lapan hari untuk mempromosikan album terbaharunya, One, memuat naik foto kenangan bersama Perdana Menteri ke akaun Facebooknya.
Dalam kapsyennya, Maher memaklumkan dia sempat berbual tentang pelbagai topik termasuk seni, budaya dan Islam bersama Datuk Seri Najib.
"Saya mendoakan agar Malaysia terus dirahmati," tulis Maher di hujung status itu.
Perdana Menteri pula dalam status yang dimuat naik ke Facebook, mengakui meminati dan mengagumi mesej dakwah yang dibawa lagu-lagu dendangan penyanyi yang berasal dari Lubnan itu.
Album Maher, One, buat masa ini tersenarai antara lima album paling laris dalam senarai iTunes Malaysia.
Album tersebut dilancarkan pada Jun lalu, dengan lagu 'The Power' diangkat sebagai single pertama.