Mahadzir Lokman masih kritikal, alami komplikasi - adik

Astro Awani
September 25, 2017 12:08 MYT
Pengacara terkenal Datuk Mahadzir Lokman, 60, masih kritikal selain mengalami komplikasi akibat penyakit darah tinggi dan diabetes yang dihidapinya. -Gambar fail
Pengacara terkenal Datuk Mahadzir Lokman, 60, masih kritikal selain mengalami komplikasi akibat penyakit darah tinggi dan diabetes yang dihidapinya.
Perkara ini disahkan adik beliau, Danial Lokman, melalui satu mesej yang dihantar kepada warga media pada Isnin.
Daniel berkata doktor mengesahkan keadaan Mahadzir yang masih koma sebagai kritikal.
“Terima kasih atas doa anda untuk abang saya. Beliau kini berada di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
"Beliau kini berada dalam keadaan koma, dan sedang mengalami komplikasi akibat daripada penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes yang dihidapinya.
“Doktor memaklumkan beliau berada dalam keadaan kritikal.
BACA: Mahadzir Lokman masih kritikal tetapi stabil - jurucakap keluarga
Tambah Danial, pasukan perubatan sedang berusaha menstabilkan keadaan abangnya.
“Saya mengharapkan agar doktor dapat menstabilkan beliau dan saya menghargai doa peminat beliau agar kesihatannya kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Mahadzir dikejarkan ke PPUM pagi tadi sekitar jam 10 selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di sini.
Astro AWANI difahamkan Mahadzir baharu pulang dari Jakarta, Indonesia, atas urusan kerja dua hari lalu.
#Danial Lokman #darah tinggi #kritikal #Mahadzir Lokman #paru-paru #PPUM
;