Madonna cuba halang acara lelong surat cinta bekas kekasih, Tupac Shakur

Agensi
Julai 19, 2017 10:36 MYT
Surat bertarikh Januari 1995 ditulis kepada Madonna oleh Shakur semasa dia dipenjara kerana serangan seksual. - Foto REUTERS
PENYANYI dan pelakon terkenal Madonna sedang berusaha untuk menghalang satu acara yang bakal melelong sepucuk surat dari bekas kekasihnya iaitu penyanyi rap lagenda, mendiang Tupac Shakur pada Selasa.
Dalam usaha ke arah itu, Madonna turut memfailkan permohonan injuksi sementara di Mahkamah Agung New York terhadap rumah lelongan New York, ‘Gotta Have It Collectibles’ bagi menghentikan penjualan itu, hari ini.
Surat yang ditulis Shakur itu terdapat catatan dimana dia antara lain menggelar penyanyi Whitney Houston dan pelakon Sharon Stone sebagai ‘mengerikan’.
Dalam dokumen yang difailkan di mahkamah, Madonna mendakwa dia hanya menyedari banyak senarai barang miliknya yang akan dilelong ketika membaca laporan akhbar, termasuk surat dari bekas teman lelakinya, Shakur – yang tidak lagi dalam simpanannya.
Barang-barang tersebut telah diserahkan kepada rumah lelongan oleh Darlene Lutz, yang diterangkan oleh Madonna dalam dokumen keterangan sebagai bekas kawan dan konsultan seni.
Lutz didakwa Madonna telah "mengkhianati kepercayaan saya dengan usaha yang luar biasa untuk memperoleh harta benda saya tanpa pengetahuan atau persetujuan saya."
Seorang wakil kepada rumah lelong dan Lutz berkata dalam satu kenyataan yang diemelkan bahawa usaha Madonna untuk menghentikan penjualan itu adalah "tindakan yang tidak berasas dan tidak adil," dan mereka akan mencabar tuntutannya di mahkamah.
"Kami percaya bahawa niatnya tidak lain adalah untuk menjejaskan reputasi baik rumah lelongan dan Lutz," kata kenyataan itu.
Dalam surat bertarikh Januari 1995 dan ditulis kepada Madonna oleh Shakur sewaktu dia dipenjara atas kesalahan serangan seksual, penyanyi rap itu berkata bahawa dia mengakhiri percintaan dengan Madonna kerana merasakan bahawa bercinta dengan wanita berkulit putih boleh menjejaskan kariernya.
"Bagi menjaga imej, saya akan menjaga hati mereka yang banyak membantu saya selama ini dan saya tidak berniat untuk melukakan hatimu,” tulis Shakur dalam surat kepada Madonna itu.
Shakur terbunuh pada usia 25 tahun dalam satu insiden tembakan di Las Vegas pada September 1996.
Selain surat tersebut, penyanyi Rebel Heart itu juga berusaha mengeluarkan sepasang seluar dalamnya, buku cek lama, berus rambut dan foto peribadi dari acara lelongan itu.
#Darlene Lutz #lelong #Madonna #Mahkamah Agung New York #Tupac Shakur
;