'Macam mana saya boleh hadapi hari depan tanpa sosok ini?' - Isteri Allahyarham Pyanhabib
Astro Awani
Jun 14, 2024 15:30 MYT
Jun 14, 2024 15:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah tentu sukar untuk melupakan pemergian insan tercinta, dan itu juga dilalui oleh isteri kepada Allahyarham Pyanhabib, Zurina Zakaria, yang kehilangan suaminya pada 4 Jun lalu.
Menerusi kemas kini terbaharu di laman Facebook Pyanhabib Rahman, Zurina, 58, meluahkan isi hati bagaimana untuk dia menempuhi hari-hari mendatang tanpa Allahyarham di sisinya.
"Allah, macam mana saya boleh hadapi hari depan tanpa sosok ini (Pyanhabib) sebagai pelindung, suami, baba dan atok (datuk) yang sangat tegas," tulisnya pada Jumaat.
Dalam entri sama, Zurina turut memuat naik beberapa keping gambar Allahyarham Pyanhabib, yang juga pelakon dan penyair versatil tanah air termasuk ketika mengerjakan umrah pada September tahun lalu.
Jelas Zurina, suaminya bersyukur kerana dapat mengecapi banyak impian semasa hayatnya termasuk pergi ke tanah suci.
"Saya (Allahyarham Pyanhabib) sudah dapat apa yang saya mahu dalam hidup. (Antaranya) menjadi penulis, berkahwin dan memiliki anak. (Selain itu) ke Mekah adalah impian saya sebelum saya tutup mata," kongsi Zurina lagi.
Dalam pada itu, Zurina turut menitipkan doa untuk Allahyarham suami:
"Rehatlah kanda... tiada lagi ragam dunia yang memenatkan fikiran kanda. Cukup lah anak menantu dan cucu menemani dinda sebelum dinda juga menyusul ke sana."
Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman meninggal dunia di kediamannya di AU4 Keramat pada 4 Jun lalu.
Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.
Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.