Maafkan saya, Starlight kerana... - VIXX Leo
Isabelle Leong
Julai 27, 2019 08:00 MYT
Julai 27, 2019 08:00 MYT
Ahli kumpulan K-Pop terkenal VIXX, Leo memohon maaf kepada peminatnya di Malaysia kerana lama tidak ‘menjenguk’ mereka.
Penyanyi utama VIXX itu melahirkan rasa bersalah terhadap Starlight (nama fandom VIXX) kerana mengambil masa lebih dua tahun untuk kembali ke negara ini bagi berjumpa dengan mereka.
“Saya berasa sungguh bersalah terhadap peminat di Malaysia kerana sudah lama kami (VIXX) tidak datang membuat persembahan di sini.
“Apabila saya sampai di lapangan terbang, saya melihat banyak peminat yang menyambut saya dan mengalu-alukan kedatangan saya.
“Ia membuatkan saya rasa benar-benar bersalah kerana sudah lama tidak ke sini,” kata Leo dengan bantuan penterjemah pada sidang media K-Performance Show 2019 di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Jumaat.
Sebelum ini, VIXX pernah ke Malaysia pada 2017 bagi menyertai acara VIXX Fan Meeting Tour in SE-Asia – Kuala Lumpur.
Leo yang hadir dengan aksi solo pada kali ini akan membuat persembahan pada K-Performance Show 2019 hasil anjuran Korea Tourism Organisation (KTO) Malaysia pada Sabtu ini.
Bagaimanapun, Leo yang juga merupakan seorang pelakon teater muzikal mengakui dia rindu membuat persembahan dengan anggota VIXX yang lain.
“Sebagai ‘soloist’, saya rindu membuat persembahan dengan anggota yang lain.
“Walaupun saya hadir seorang diri, saya tetap ingin buat yang terbaik untuk peminat saya,” tambahnya.
VIXX terdiri daripada enam anggota iaitu N, Hongbin, Ravi, Ken, Leo dan Hyuk dan membuat debut pada 2012 di bawah naugan syarikat Jellyfish Entertainment.