"Maafkan saya kerana merahsiakan perkahwinan" - Elizabeth Tan mengaku menikahi ahli perniagaan

Astro Awani
Mac 21, 2021 17:24 MYT
Elizabeth Tan dan Siew Jim melangsungkan pernikahan pada Sabtu dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri 10 orang tetamu.
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Elizabeth Tan, 28, mengesahkan dia sudah berkahwin dengan ahli perniagaan Siew Jim pada Sabtu.
Majlis pernikahannya dengan Siew Jim berlangsung secara sederhana dengan hanya dihadiri 10 tetamu sahaja.
Acara penuh bermakna itu diadakan di Gombak, Selangor.
Sehubungan itu, Elizabeth atau mesra disapa Lizzy memohon maaf kerana tidak berkesempatan berkongsi
berita perkahwinannya dengan orang ramai sehinggalah foto-foto hari bahagianya itu tular sejak pagi Ahad.
“Gambar dan video yang telah tersebar yang menyatakan Lizzy sudah berkahwin adalah benar.
“Majlis semalam adalah sangat intimate dan kecil sebagai langkah mematuhi SOP dan hanya dihadiri oleh 10 orang tetamu yang merupakan ahli keluarga dan kenalan rapat Lizzy sahaja’, ujarnya dalam kenyataan yang diedarkan.
BACA: Benarkah Elizabeth Tan sudah kahwin?
Kata Lizzy lagi, majlis perkahwinannya itu merupakan sesuatu yang sangat peribadi buatnya dan memohon maaf kerana tidak melayangkan sebarang undangan.
“Lizzy ingin memohon maaf sekali lagi kerana tidak dapat menjemput ahli keluarga yang lain, serta rakan-rakan media.
“Pada Lizzy, memilih untuk berkahwin ini tidak mengubah apa-apa. Lizzy masih Lizzy yang sama. Dan Lizzy harap semua dapat terima dan hormat keputusan Lizzy,” kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Semua Sudah dan Knock Knock itu lagi.
#Elizabeth Tan #Lizzy #berkahwin #ahli perniagaan #Siew Jim
;