"Maafkan saya, ini kecuaian sendiri" - Sam mengaku silap gantung vape di leher
Asyraf Roslan
November 14, 2020 16:29 MYT
November 14, 2020 16:29 MYT
Shaheizy Sam memnegaskan, dia tidak berniat untuk mempromosikan apa-apa produk seperti yang didakwa segelintir pihak.
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Shaheizy Sam memohon maaf atas tindakannya menggantung rokok elektronik (e-rokok) atau vape pada leher semasa menjadi penyampai anugerah di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 malam tadi.
Aktor itu memberi alasan dia terlalu gugup sehingga terlupa dengan penampilan diri dalam acara yang berlagsung di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini.
"Sam Sedar ramai yang bising di sosial media mengenai apa yang jadi di ABPBH semalam, jadi Sam nak minta maaf kepada ABPBH atas kecuaian diri sendiri.
"Memang saya yang salah, sebab saya terlalu nervous sebab nak buat yang terbaik sehingga Sam terlupa apa yang ada pada diri Sam," katanya dalam laman Instagram peribadinya.
Dalam masa sama, suami kepada pelakon Syetila Melvin itu menegaskan, dia tidak berniat untuk mempromosikan apa-apa produk seperti yang didakwa segelintir pihak.
Sebaliknya, tindakan itu, katanya, berlaku di luar kawalan.
Di laman sosial, Shaheizy Sam dikecam hebat oleh nitezen kerana dikatakan menunjukkan satu contoh yang tidak baik apabila menggantungkan vape di leher dan muncul dalam sebuah program hiburan yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Perkara tersebut turut dipersoalkan oleh Public Health Malaysia, bagaimana tindakan sedemikian boleh dilepaskan untuk tayangan umum.