"Maaf sebab saya tak sekuat awak..." - Sissy Iman belum pulih, minta beri ruang
Gempak
Januari 26, 2023 11:39 MYT
Januari 26, 2023 11:39 MYT
PENYANYI Sissy Iman mengakui masih belum pulih selepas melalui episod duka apabila menerima komen menggores hati dari juri Mas Idayu dalam sebuah program pada Ahad.
Malah dia masih belum dapat meneruskan rutinnya yang perlu dilakukan untuk persiapan setiap minggu.
“Hari Rabu sepatutnya hari kita sudah mendapat konsep persembahan supaya pihak produksi dapat mencari bahan dan penata gaya menyediakan baju.
“Namun, minggu ini dalam otak saya kosong, tiada lagu mahupun visual,” katanya.
Sissy berkongsi luahan itu dalam satu hantaran di Instagram semalam
Pelantun lagu Pesanan Ayahanda itu juga turut meminta maaf kepada pasangannya yang bergandingan dalam pertandingan berkenaan iaitu Naim Daniel kerana tidak memberi komitmen sepatutnya.
“Kita sudah berjanji untuk sama-sama hadap semua kemungkinan jauh sebelum pertandingan ini bermula tetapi saya minta maaf sebab tak dapat jadi sekuat awak.
“Maaf sebab awak kena hadap semua pertanyaan seorang diri termasuk panggilan dan mesej awak yang saya tidak jawab sebelum ini sedangkan semua ini sepatutnya menjadi tanggungjawab kita bersama.
“Tidak semena-mena awak perlu menjadi ketua untuk semua ini,” jelasnya.
Buat masa ini, Sissy meminta dia diberi ruang sebelum kembali bangkit meneruskannya.
“Minta maaf juga pada semua rakan-rakan media dan sahabat lain kerana membiarkan anda semua dalam fasa kegelapan seperti yang saya lalui ketika ini.
“Jangan risau. Insya-Allah saya akan kembali dan beri sedikit masa sahaja lagi,” ujarnya lagi.
Sejak Ahad lalu, nama Sissy menjadi bualan ramai selepas dia dilihat menitiskan air mata kerana menerima kritikan pedas daripada Mas Idayu.
Menerusi kritikan tersebut, Mas Idayu berpendapat persembahan Sissy dan Naim ketika menyanyikan lagu Jampi milik Hael Husaini dalam versi keroncong tidak mencapai piawaiannya.
Perkara tersebut menggores hati Sissy yang berpendapat dia tidak lagi disayangi oleh muzik sehingga sanggup membatalkan pelancaran album terbaharunya yang dirakam di London, United Kingdom tahun lalu.
Artikel asal disiarkan di Gempak.