'Maaf, aku tak dapat tolong kerana aku sendiri memerlukan' - Adibah Noor
Madiha Abdullah
Jun 18, 2022 22:45 MYT
Jun 18, 2022 22:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 10 jam yang lalu, Adibah Noor masih aktif di Twitter.
Namun, ulang ciap yang dilakukannya adalah demi membantu seorang pemilik kucing yang mengharapkan bantuan.
Jam 7.45 petang tadi, penghibur serba boleh itu menghembuskan nafas terakhir.
Mereka yang mengikuti Adibah di media sosial pasti sedar, pelantun 'Terlalu Istimewa' itu antara selebriti yang kerap di'tag' dalam ciapan individu yang memerlukan bantuan.
Ini kerana beliau sendiri tidak pernah berkira untuk cuba menghulurkan pertolongan, biarpun sekadar melalui ulang ciap.
Lima hari lalu, Allahyarham membuat kemas kini di Twitter dengan memaklumkan, beliau sudah tidak mampu memberi bantuan.
Ia dipercayai sebagai balasan kepada individu yang mengharapkan pertolongan untuk menjaga kucing-kucingnya kerana kekurangan sumber pendapatan.
"Maaf. Kali ini aku tak dapat tolong kerana aku sendiri dalam keadaan memerlukan," tulis Allahyarham.
Status terakhir yang dimuat naik Allahyarham ialah tiga hari lalu, yang menyampaikan ucapan takziah dan rasa sedih di atas pemergian pelakon veteran, Hamid Gurkha.
Minggu lalu, Adibah muncul di media memaklumkan keadaan fizikalnya yang semakin kurus adalah kerana mengamalkan diet dengan memotong pengambilan gula.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 51 tahun akibat kanser ovari.