M. Nasir kembalikan nostalgia 'Kembara Seniman Jalanan'
Astro Awani
April 20, 2019 11:27 MYT
April 20, 2019 11:27 MYT
KEMBARA seninya merentasi waktu. Bermula di jalanan dia kembali ke jalanan.
Dahulu di Pasar Seni, alunan suara dan rentak tarinya bergema di Bukit Bintang.
Datuk M. Nasir membuat kemunculan mengejut ketika orang ramai asyik melayan irama seniman jalanan di Bukit Bintang.
Berpakaian kemeja putih tanpa kolar dipadankan dengan jeans biru, kehadiran sifu muzik nusantara ini menarik perhatian hadirin.
M. Nasir berada di Bukit Bintang bagi menjalani penggambaran sebuah program televisyen. Sementara ada peluang di depan mata, beliau dipelawa untuk turut sama menghiburkan hadirin.
"Tanya Sama Itu Hud-Hud" dinyanyikan bersama pengunjung. Dengan 'suara jantan' dan auranya yang tersendiri, penghibur berusia 61 tahun ini bagaikan ada sakti yang memukau penonton untuk menyanyi bersamanya.
Itulah hebatnya legenda seni bernama M. Nasir.