'Lupakanlah hasrat nak ambil laki akak, potong jarilah kalau kau sanggup' - Nadya Syahera

Media Hiburan
Mac 19, 2023 13:00 MYT
Nadya berkata cubaan tersebut kemungkinan berlaku disebabkan ada wanita tertarik dengan kesenangan hidup suaminya. -Media Hiburan
PELAKON Nadya Syahera tidak menafikan ada orang ketiga yang pernah cuba untuk 'mengganggu' keharmonian rumah tangganya bersama usahawan Fizul Nawi sebelum ini.
Nadya, 29, berkata cubaan tersebut kemungkinan berlaku disebabkan ada wanita tertarik dengan kesenangan hidup suaminya.
Bagaimanapun, Nadya kembali bertanya adakah wanita tersebut mampu untuk menjalani kehidupan bersama suaminya untuk tempoh yang lama.
“Sebelum ini saya ambil tahu dan dapat tahu ada juga (cubaan mendekati suami) mereka nampak daripada segi material kot saya rasa.
“Tapi kalau kau ada dalam tempat aku, kau sanggup tak ‘duduk’ seperti aku. Aku dah lapan tahun tau, kau baru nak masuk duduk tiga atau empat bulan, better tak payah dik.
“Lupakan nak ambil laki kakak… ha macam itu.
"Kalau kau sanggup bertahan macam kakak, I bet you potong jari, pergilah. Ambillah,” kata Nadya ketika ditemui ketika majlis pelancaran produk Nano Cosmetic, baru-baru ini.
Pada acara sama, Nadya turut diperkenalkan sebagai duta jenama berkenaan yang berlangsung di Magica Suite, Quill City Mall, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Nadya memilih untuk bersikap rasional dan tidak menafikan sekiranya ujian tersebut berlaku, dia berserah.
“Saya daripada dahulu berpegang kepada satu perkara iaitu kalau saya rasa boleh meneruskan, saya akan teruskan. Begitu juga sebaliknya.
"Tak kisahlah apa sahaja yang orang bercakap mengenainya, yang berada di dalam ‘kasut’ itu ialah kita.
“Jadi kita yang lebih tahu pasangan kita bagaimana dan kita yang perlu rasa yakin untuk diri sendiri sama ada mampu (untuk teruskan perkahwinan) atau tidak.
"Macam saya, sekali rasa boleh hadap, saya hadap.
“Akan tetapi saya percaya Allah tidak akan membiarkan hambaNya dalam keadaan yang terlalu teruk. Suatu hari insya-Allah Dia akan tarik kita ke jalan yang lebih baik.
"Jadi apa yang telah berlaku di dalam rumah tangga saya sama ada yang baik atau tidak, itu adalah kehendakNya.
“Kalau ada rezeki hubungan kami hingga ke syurga, saya bersyukur. Kalau tergantung di pertengahan jalan saya tak boleh nak melawan takdir.
"Apa pun di dalam rumah tangga ini, bagi saya kena perlu banyak berkomunikasi dan ada tolak ansur,” katanya lagi.
Untuk info, Nadya dan Fizul mendirikan rumah tangga pada September 2015 dan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Aleena Rose, Mohamad Dayyan dan Muhammad Barr Adam. -Media Hiburan
#hiburan #Fizul Nawi #orang ketiga #ganggu rumah tangga
;