"Luluskan kawasan tertentu di bandar, di kampung untuk penggambaran filem"

Kenyataan Media
Julai 1, 2021 16:32 MYT
Dengan jadual yang lengkap dan teratur, jumlah jam bekerja yang khusus, serta penggunaan teknologi digital terkini yang fleksibal, sewajarnya kerja-kerja penggambaran filem di lokasi tidak membawa musibah. - Gambar hiasan
KERAJAAN dipohon membenarkan kawasan tertentu yang sesuai di pelbagai tempat dan daerah sebagai lokasi penggambaran filem dan penerbitan produk kandungan digital yang dibenarkan.
Dengan SOP dan jadual yang kemas kebenaran tersebut boleh membantu penerbit, karyawan, pekerja kreatif, juruteknik, pelakon dan lain-lain untuk bekerja, membina momentum dan kelestarian bidang kandungan digital pelbagai sektor, penyiaran, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan lain-lain.
Ia juga dapat menghidupkan budaya kerja baharu yang perlu diterokai berterusan dalam bidang ekonomi digital, sama seperti yang dilakukan di Jepun, Korea dan China, misalnya.
Cara ini juga dapat membantu menyelesaikan kerja tertunggak kalangan penerbit yang telah dan akan mendapat dana penerbitan bernilai berjuta-juta ringgit yang dikendalikan di bawah Finas.
Dianggarkan dana sebanyak sekurang-kurangnya RM150 juta ringgit telah diluluskan kerajaan untuk menyediakan pelbagai jenis pekerjaan melalui syarikat penerbitan, untuk karyawan dan pekerja filem setakat ini.
Ini tidak termasuk peruntukan dibawah rancangan Malaysia ke-12 yang dikatakan berjumlah sebanyak RM550 juta.
Pada masa ini, terdapat lebih dari seratus syarikat produksi yang telah dan akan menerima pembiayaan dibawah Dana Pelaksana, dan Dana Kandungan Digital FINAS, dengan ribuan jam kandungan penyiaran terjadual, yang perlu dikerjakan. Tetapi semuanya tidak dapat dimulakan atau diteruskan kerana sekatan PKP yang sedang berjalan.
Keadaan ini bukan sahaja telah menjejaskan syarikat berkenaan, tetapi juga menghilangkan peluang pekerjaan kepada tidak kurang 7,000 pendokong utama industri pelbagai lapisan, walaupun soal kewangan tidak lagi menjadi persoalan.
Satu perkara yang patut dilihat secara dekat ialah apakah sebenarnya kaedah dan amalan penggambaran produksi yang diamalkan di negara ini. Pertama, kerja produksi dan penggambaran di negara ini kebanyakannya adalah merupakan produksi bersekala kecil. Produksi seperti drama TV, dokumentari, PSA, TVC, dan lain-lain produksi digital biasanya hanya melibatkan jumlah tenaga produksi yang kecil, iaitu dibawah sepuluh orang pada satu-satu situasi.
Dengan jadual yang lengkap dan teratur, jumlah jam bekerja yang khusus, serta penggunaan teknologi digital terkini yang fleksibal, sewajarnya kerja-kerja penggambaran filem di lokasi tidak membawa musibah.
Kedua, hampir semua tenaga kerja produksi di negara ini terdiri daripada pengamal freelancer, atau orang yang bekerja secara kontrek jangka pendek. Gulungan inilah yang menentukan, mencorak nilai dan rupa wajah produks kandungan kreatif dan digital tempatan.
Mereka yang survive dalam industri ini adalah freelancer atau profesional yang komited dan berdisiplin dengan kerja mereka. Membenarkan mereka kembali bekerja adalah sesuatu yang bukan sahaja dapat membina kelangsungan kerjaya mereka, tetapi juga dapat membina momentum yang bernilai untuk jangka waktu panjang.
Di Malaysia terdapat banyak kawasan, dalam bandar, pekan kecil, kampong, jalan, lorong, pesisir pantai, bukit, hutan dan lain-lain yang boleh dikenal pasti sebagai kawasan sesuai dan selamat untuk kerja-kerja penggambaran ‘produksi kecil’ kita.
Walupun pekerjaan filem bukan hanya tentang cari makan, tetapi hari ini nampaknya mendapatkan makan perlu diutamakan dahulu, sebelum ianya menjadi persoalan besar yang menggugat.

* Mahadi J Murat ialah seorang Pengarah Filem, Profesor Komunikasi dan Pengajian Filem di International University of Malaya-Wales (IUMW) dan Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#lokasi penggambaran #penerbitan #kandungan digital #SOP #penggambaran filem #FINAS
;