Lukisan mural di Dubai harumkan nama artis grafiti Malaysia

Syafique Shuib
Julai 29, 2016 21:30 MYT
Tujuh daripada lapan artis graffiti yang dipilih untuk menjayakan mural di kawasan Al-Karama di Dubai. -Gambar: Abdul Rashid Abdul Rahman
LAPAN artis grafiti Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila dipilih untuk menghasilkan 24 mural di kawasan Al-Karama di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Ia merupakan kawasan perumahan dan antara pusat membeli belah terawal di Dubai.
Abdul Rashid Abdul Rahman, 32, merupakan salah seorang artis yang diterbangkan ke Dubai untuk menjayakan projek ini oleh syarikat hartanah Al-Wasl Group yang ingin menaiktarafkan kawasan Souk Karama.
Ketika berkongsi pengalamannya di Dubai bersama Astro AWANI, Abdul Rashid berkata ia bermula dengan dua kenalan yang merupkan artis sepenuh masa bersama syarikat kreatif Dubai.Graffiti.
“Kumpulan Al-Wasl melantik Dubai.Graffiti untuk projek ini dimana ada dua rakyat Malaysia yang sudah menjadi artis mereka.
“Mereka kemudian mencadangkan mendapat perkhidmatan enam artis dari Malaysia, termasuk saya. Jadi terdapat lapan orang untuk menyiapkan 24 mural,” kata bekas pereka grafik di Les' Copaque Production.
Katanya, pemilihan artis dibuat berdasarkan karya artis itu dan jika ia bersesuaian dengan citarasa pihak syarikat itu.
Abdul Rashid berkata karya grafiti masih lagi baru namun kian popular di Dubai.
“Mereka tidak mempunyai banyak artis grafiti tempatan, jadi mereka harus mengambil artis grafiti dari seluruh dunia,” katanya.
‘Pengalaman yang tidak dapat dilupakan’
Mereka mula bergerak ke Dubai pada 25 Mei dan projek ini bermula pada 5 Jun.
“Antara tekanan bagi kami adalah untuk pastikan ia siap pada tarikh yang ditetapkan iaitu pada 17 Julai.
“Hari Raya pun kami terpaksa kerja agar ia siap pada masanya,” kata Abdul Rashid.
Beliau mengakui cuaca di sana agak panas, jadi mereka memilih untuk bekerja dari jam 10 malam hingga 9 pagi keesokan harinya.
“Memang seronok bekerja di sana. Ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Abdul Rashid.
'Penduduk tempatan hargai karya'
Dari segi kreativiti, Abdul Rashid akui tidak banyak batasan dari pihak klien.
“Mereka cuma mempunyai tema tertentu seperti burung helang, singa, harimau dan elemen yang melambangkan budaya Emiriah Arab Bersatu,” katanya.
Katanya, karya mereka mendapat maklum balas positif dari penduduk tempatan.
“Boleh dikatakan setiap malam ada orang belanja sahur. Mereka benar-benar menghargai kerja-kerja kami. Mereka suka lukisan, warna dan juga teknik kami.
“Memang puas lah. Itulah perasaan saya bila semuanya sudah siap,” kata Abdul Rashid.
#Abdul Rashid Abdul Rahman #artis graffiti #Dubai
;