Lufya Omar diceraikan menerusi WhatsApp

Astro Awani
September 17, 2019 13:54 MYT
Lufya Omar diceraikan oleh suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Baharum menerusi aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu. - Gambar Instagram @chehafiz007
PELAKON dan penyanyi, Lufya Omar sudah diceraikan oleh suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Baharum menerusi aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu.
Tindakan Dr Che Muhammad berbuat demikian adalah kerana kedua-dua pihak tidak menemui jalan penyelesaian untuk memulihkan kembali hubungan pasangan berkenaan.
“Saya bersetuju dan tunaikan permintaan Lufya untuk menceraikannya. Permintaan tersebut diminta Lufya menerusi WhatsApp ketika kami sedang membincangkan isu rumah tangga.
“Biarlah kami sahaja yang tahu punca perceraian ini. Tidak perlu dimaklumkan kepada umum,” ujar Dr Che Muhammad seperti dilaporkan portal MHETV pada Selasa.
Dr Che Muhammad juga menegaskan tidak akan berkongsi apakah punca yang menyebabkan berlaku perceraian antara beliau dan Lufya.
Ini kerana, perceraian ini terlalu peribadi, kata Dr Che Muhammad.
“Cukuplah ini sahaja penjelasan daripada saya dan terlalu peribadi untuk saya kongsikan tentang hal lain.
“Banyak hati yang perlu dijaga dan diharapkan tidak timbul sebarang spekulasi lain,” ujar Dr Che Muhammad.
Dr Che Muhammad, 29, meninikahi Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar pada 26 November 2016.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura yang berusia dua tahun.
Lufya sebelum ini mendakwa dia dianiaya suami sendiri yang melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawab sejak tiga bulan lalu.
Dalam pendedahan yang dibuat dalam laman Instagramnya, Lufya berkata, dia sudah lama bersabar dengan sikap lelaki berkenaan yang didakwanya beberapa kali mengulangi kesalahan sama, seawal perkahwinan mereka.
"Ini caranya nak tangani masalah? Lari daripada tanggungjawab tiga bulan setengah berturut-turut. Jangan cakap saya tak tutup aib suami, kalau suami tak tutup aib sendiri.
“Terlalu lama kesabaran saya diduga. Sejak tiga bulan kita berkahwin, awak sudah buat penganiayaan yang tak terjangkau fikiran.
“Kesalahan itu awak ulang sehingga enam kali! Saya diam, sampai tak lagi mampu memikulnya sendiri. Luka di badan tak sesakit luka dalam hati ini. Terima kasih,” katanya dalam luahan itu.
#anak #diceraikan #Dr Che Muhammad Hafiz Baharum #Laana Haura #Lufya Omar #Lutfyah Sheikh Omar #perceraian #perkahwinan #suami
;