Lorna Tee letak jawatan pengarah festival

Astro Awani
April 16, 2013 00:14 MYT
Festival Filem Antarabanga Malaysia (IFFM) yang tertangguh sejak akhir tahun lalu berdepan dengan satu lagi masalah selepas pengarah bersamanya, Lorna Tee meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta.
Beliau juga mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli Panel Penasihat Antarabangsa yang dibentuk untuk memberi nasihat kepada industri filem negara.
Penganjuran festival itu diumumkan di Festival Filem Cannes di Perancis pada Mei tahun lalu.
Pada ketika itu, ia dilaporkan akan berlangsung pada November berikutnya serentak dengan Pasar Komunikasi dan Industri Kreatif Kuala Lumpur (KLCCIM).
Acara itu kemudian dilaporkan ditangguh sehingga Mac lepas tetapi selepas itu, tiada sebarang khabar berita.
“Malangnya festival berkenaan tidak berlangsung seperti dirancang (biarpun) ada banyak sokongan dan maklum balas positif daripada industri filem tempatan dan antarabangsa," kata Lorna dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau memberi alasan letak jawatan kerana tiada tarikh baru ditetapkan untuk penganjuran festival itu dan mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja penerbitan filem.
"Saya masih menyokong apa juga usaha untuk mengembang dan menggalakkan industri filem Malaysia kerana Malaysia masih tanah tumpah darah saya," tambah Lorna yang kini bermastautin di Hong Kong.
Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (Finas) melantik Lorna sebagai pengarah IFFM bersama pengkritik filem antarabangsa Dennis Lim, seorang lagi warga Malaysia yang menetap di New York.
Lorna mempunyai pengalaman luas terlibat dalam festival filem antarabangsa serta merupakan penerbit kepada beberapa filem Asia Tenggara termasuk The Beautiful Washing Machine arahan James Lee dan filem Kebun Binatang arahan Edwin dari Indonesia yang ditayangkan di Festival Filem Berlin dua tahun lalu.
#festival filem kuala lumpur #filem #lorna tee