Lisdawati rahsia kehamilan anak keempat
Sinar Harian
Mei 17, 2018 07:16 MYT
Mei 17, 2018 07:16 MYT
PELAKON Lisdawati mengakui mempunyai sebab yang tersendiri untuk tidak berkongsi tentang kehamilannya kepada krew produksi yang melibatkan projek lakonannya baru-baru ini.
Menurut isteri kepada pelakon dan pengarah Fauzi Nawawi ini, dia mengambil keputusan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain hanya kerana dia dalam keadaan berbadan dua.
Akui Lisda, dia tidak mengalami sebarang masalah dan tetap bertenaga menjalani tanggungjawabnya sepanjang penggambaran berlangsung.
"Kalau tengok saiz kandungan, memang kecil hingga ketika saya menjayakan penggambaran drama Mr Grey, kru produksi tidak sedar saya hamil trimester pertama.
"Orang yang perasan fizikal saya berubah pun tidak menegur sebab mungkin mereka menyangka ia perubahan biasa. Kebetulan, saya membawakan watak ibu, jadi tak perlu pakai persalinan yang menyerlahkan bentuk badan.
"Ketika terima tawaran, saya tidak beritahu sedang hamil. Bukan apa, bersandarkan pengalaman lalu, rata-rata semua orang sangat prihatin sampai saya naik segan," katanya kepada sebuah portal hiburan.
Berkongsi tentang kandungannya yang kini sudah berusia tujuh bulan, kata Lisda, dia dan suami bakal menimang cahaya lelaki yang dijangka dilahirkan selepas Aidilfitri nanti.
Lisda dan Fauzi mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.