Lisa Surihani mengaku hamil anak pertama
Azyyati Ahmad
Januari 28, 2015 23:45 MYT
Januari 28, 2015 23:45 MYT
Pelakon Lisa Surihani mengaku sedang hamil anak pertamanya bersama pengarah Yusry Abdul Halim.
Namun demikian, pelakon filem Suamiku Encik Perfect 10 itu enggan mengulas lanjut kerana masih di peringkat awal.
Berita gembira itu turut disahkan oleh suaminya, Yusry Abdul Halim di majlis pelancaran trailer filem Cicakman 3 di Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.
Kata Yusry, terlalu banyak spekulasi mengenai berita kehamilan Lisa dan pengumuman ini dibuat bagi menjawab semua telahan yang timbul sebelum ini.
'Ya, Lisa hamil. Hanya itu yang dapat dikatakan setakat ini kerana usia kandungan Lisa masih terlalu awal. Manakala spekulasi yang mengatakan kami berdiam diri kerana sudah terikat dengan kontrak bersama stesen televisyen tertentu adalah tidak benar," kata Yusry.
Lisa dan Yusry ketika mengesahkan berita gembira tersebut
Lisa kemudian menambah, berita tersebut enggan diwar-warkan pada mulanya kerana mengikut tradisi orang-orang tua.
"Kandungan saya masih belum lepas trimester pertama. Kami lebih senang mengesahkan tentang berita ini dahulu, kata orang tua masih terlalu awal untuk dihebah-hebahkan. Tunggulah bila kandungan dah stabil baru saya umumkan secara rasmi" kata Lisa.
Bagaimanapun, pasangan tersebut menolak untuk bercerita lanjut mengenai berita gembira tersebut.
Isnin lalu, pelakon terkenal itu dikatakan telah menolak tawaran mengacarakan karpet merah Anugerah Akademi yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari depan.
Sekaligus menguatkan lagi spekulasi pelakon yang juga isteri kepada pengarah Yusry Abdul Halim itu sedang hamil anak pertama mereka.
Lisa melangsungkan perkahwinan bersama Yusry pada 23 Februari 2012.