Lirik lagu BTS jadi talian hayat bagi advokasi kesihatan mental
Bernama
September 2, 2023 09:30 MYT
September 2, 2023 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bukan sahaja terkenal menerusi lagu dan persembahan bertenaga, kumpulan superstar BTS juga berjaya menawan hati ramai peminat seantero dunia menerusi suara advokasi ke arah mengutamakan kesihatan mental.
Kumpulan KPop BTS bukan sahaja berjaya menawan hati ramai peminat menerusi lagu dan persembahan mereka tetapi turut menyumbang ke arah advokasi kesihatan mental.
Walaupun ramai peminat BTS mungkin tidak menyedari fakta ini, hasil penyelidikan yang dibentangkan oleh para sarjana semasa Persidangan Antara Disiplin Global BTS Keempat yang baharu sahaja melabuhkan tirainya mengetengahkan perkara ini.
Seorang sarjana Indonesia menerusi kertas kerjanya bertajuk "BTS Empowering Influence on Overcoming Adversity and Embracing the Future" sangat terinspirasi untuk meneruskan minatnya dalam reka bentuk seni bina selepas mendengar satu single Inggeris ketiga BTS bertajuk 'Permission To Dance'.
Satu baris lirik lagu hit yang turut ditulis Ed Sheeran berbunyi "We don't need to worry... cause when we fall, we know how to land," memberikan sedikit inspirasi untuk mereka yang memerlukan sokongan emosi.
Menariknya, sarjana itu bukan satu-satunya peminat yang menghargai kepentingan lirik, penulis ini, yang juga peminat K-Pop sendiri yang berhadapan dengan cabaran hidup yang melanda keluarga semasa wabak pandemik mendapat sedikit ketenangan menerusi lirik lagu dan membantu dalam menguruskan kesihatan mental.
Ahli BTS sendiri berterus terang tentang perjuangan mereka dengan membincangkan isu-isu seperti kebimbangan, keraguan diri dan tekanan, kesediaan mereka untuk berkongsi pengalaman hidup telah membantu menurunkan kadar masalah kesihatan mental dan menggalakkan peminat mereka untuk mendapatkan bantuan.
Dr Maria Bernadett Carandang, Pakar Psikiatri yang bekerja untuk Hallyu Wednesdays iaitu ruang dalam talian yang berpangkalan di Manila untuk peminat K-Wave, menegaskan melalui pemesejan kesihatan mental BTS, para peminat digalakkan untuk terus memeriksa kesihatan mental mereka dari semasa ke semasa.
"Tidak dinafikan banyak lagu BTS menyentuh tema berkaitan kesihatan mental. Muzik mereka sering bergema dalam kalangan pendengar yang mencari ketenangan dalam lirik yang boleh dikaitkan, memupuk rasa persefahaman dan sokongan, katanya kepada BERNAMA.
Setiap ahli BTS sudah pasti berpengaruh dan memberi impak positif kepada peminat mereka, tambahnya.
Maria berlepas dari Manila untuk membentangkan kertas kerjanya bertajuk BTS and the Self: Understanding Psychological Concepts Through the BTS Members'.
Berkongsi pandangan sama dengan Maria, Pakar Psikologi Klinikal Brahmmakumari Balaranam berkata apa yang diperoleh pada persidangan di UM membuktikan BTS telah membuka pintu kepada masyarakat global untuk menormalisasikan perbincangan mengenai isu kesihatan mental.
"Orang ramai meniru apa yang telah dilakukan oleh BTS kerana mereka mendapat mesej bahawa muzik dan lagu bukan lagi sekadar platform meluahkan emosi.
"Tetapi kini semua orang cuba mencari nuansanya. Bukan hanya menyanyi ketika saya rasa sedih tetapi untuk memahaminya sebagai contoh, '... kenapa saya berasa sedih?', '... apa yang boleh saya lakukan seterusnya?' dan banyak lagi," tambah Brahmmakumari yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kesihatan mental.
Memetik pengalaman lalu mengenai beliau pernah berurusan dengan migran dan pelarian di mana akses kepada rawatan perubatan asas adalah terhad, apatah lagi keadaan kesihatan mental yang pastinya amat sukar untuk mereka, kata Brahmmakumari sambil menambah bahawa BTS dan lagu mereka menjadi "peluang" yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai untuk menjaga kesihatan mental mereka.
Pada masa ini, ahli BTS Jin dan J-Hope telah pun menyertai perkhidmatan ketenteraan wajib.
Ahli selebihnya - iaitu RM, Suga, Jimin, V, dan Jungkook - menumpukan perhatian kepada kerjaya solo mereka.
Dianjurkan oleh Persatuan Antarabangsa untuk Kajian BTS (ISBS) dan Universiti Malaya (UM), persidangan edisi keempat yang diadakan baru-baru ini disertai lebih 45 sarjana dari seluruh dunia membentangkan kertas kerja mereka mengenai tema "BTS di Asia Tenggara" dan "BTS dan masa depan".
Skop dan ufuk kajian BTS, serta kesan BTS terhadap kesejahteraan fandom kewangan mereka - dengan tepat dipanggil ARMY, dan yang pertama diadakan di Asia Tenggara di mana Malaysia menjadi tuan rumah.
Persidangan pertama telah diadakan di Universiti Kingston di London, England, pada Januari 2020, dan California State University Northridge dari Amerika Syarikat menganjurkan edisi kedua persidangan secara dalam talian kerana wabak pandemik. Edisi ketiga diadakan di Seoul, Korea Selatan tahun lalu. - BERNAMA