Lindsay Lohan dan eksperimentasi agama

Shamil Hizamie
Mei 17, 2015 07:53 MYT
Sepanjang bergelar selebriti dan menjadi perhatian media, Lindsay Lohan cenderung untuk menunjukkan minat terhadap banyak agama di dunia.
Kontroversi tidak pernah meninggalkan Lindsay Lohan. Kes langgar lari, pelbagai kesalahan melibatkan dadah, penyalahgunaan alkohol dan lain-lain sentiasa membelenggu pelakon berusia 28 tahun itu.
Rabu lalu, Lindsay dilihat membawa senaskah kitab suci umat Islam, Al-Quran seusai aktiviti khidmat masyarakat di Brooklyn, New York.
Namun ini bukan kali pertama Lindsay menunjukkan minat terhadap agama-agama lain.
Katolik
Pemilik nama penuh Lindsay Dee Lohan ini dilahirkan di New York dan berketurunan Irish dan Itali. Beliau dibesarkan sebagai penganut agama Katolik.
Salasiah keturunan ibunya yang berasal dari Itali dan dikaitkan sebagai penyokong kuat agama Katolik. Datuk moyangnya, John L. Sullivan adalah pengasas The Long Island Pro Life Party.
Kabbalah
Semasa mula meningkat naik sebagai seorang bintang kanak-kanak, Lindsay dilihat memakai rantai tangan merah yang sering dipakai oleh penganut agama Kabbalah.
Rantai merah itu dikatakan dapat mengusir anasir jahat buat sesiapa yang menyarungkannya.
Beberapa khabar angin yang mangatakan Lindsay mengikuti kelas-kelas agama Kabbalah turut menjadi permainan pengamal media.
Judaisme
Lindsay pernah meluahkan hasrat untuk menukar ke agama Judaisme semasa menjalinkan hubungan dengan Samantha Ronson sekitar 2007.
Beliau pernah memuat naik status di Facebook yang berbunyi "I'm converting" (saya akan menukar agama). Namun apabila ditanya oleh paparazi, Lindsay menegaskan dia masih 'mencuba'.
Sejurus perhubungannya dengan Samantha berakhir, Lindsay menyatakan bahawa dia akan yang kekal sebagai seorang penganut Katolik.
Buddha
Sekitar tahun 2012, penyanyi rock, Courtney Love memaklumkan para media bahawa Lindsay telah menyertai kelas berdikirnya.
Kelas dikir agama Buddha yang diadakan di rumah Courtney itu turut disertai oleh tujuh wanita lain.
Dalam tahun yang sama juga, Lindsay dalam siri dokumentari terbitan saluran Oprah menyatakan dirinya kini lebih menjurus kepada sifat spiritual dan lebih suka bermeditasi di waktu senggang.
Islam
Pelakon yang popular menerusi lakonannnya sebagai Cady Heron dalam filem Mean Girls itu dikatakan sedang cuba mendalami agama Islam.
Selama beberapa tahun, Lindsay menjadi bual bicara portal media di seluruh dunia lantaran pelakon dan penyanyi itu dikatakan sedang cuba memperbaharui kehidupannya.
Umat Islam menerusi pengajaran yang termaktub dalam Al-Quran menyarankan kehidupan yang sihat dan bebas dari alkohol buat penganutnya.
Sumber - Instagram Lindsay Lohan
Awal tahun lalu, Lindsay ada memuat naik petikan kitab Al-Quran di laman Instagram namun memadamnya beberapa hari kemudian.
#Buddha #Islam #Judaisme #Kabbalah #Katolik #Lindsay Lohan