Lima rockers otai bergabung bantu Al-Muqwa

Sinar Harian
Februari 17, 2024 12:30 MYT
Mudir Al-Muqwa, Amran Johari berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1.3 juta menerusi majlis berkenaan. - Foto Sinar Harian
PANDEMIK COVID-19 yang berlaku sebelum ini menjejaskan banyak sektor dan pihak termasuk pengurusan Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor.
Madrasah yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu ini terpaksa melalui pelbagai fasa-fasa perjalanan dan ujian yang sukar sepanjang tempoh tersebut dan masih berlarutan sehingga kini.
Atas dasar keprihatinan terhadap nasib yang menimpa madrasah tersebut, lima rockers iaitu Ali XPDC, Ijam Medicine, Datuk Awie, Ady Wow dan Anjang Terra Rossa bersama Iwan Syahman, Kieran dan Faizal Ismail berkongsi pentas bagi membantu pihak pengurusan mengumpul dana.
Majlis Makan Malam Kesadaran Amal dijadualkan berlangsung esok (17 Februari), bermula jam 6 petang sehingga 11 malam di Dewan MBSA Convention Centre di Shah Alam, Selangor.
Ali yang dilantik sebagai duta madrasah itu sejak 2020 bersyukur dapat terus berbakti kepada madrasah tersebut.
Mewakili teman-teman lain, Ali berkata mereka meletakkan harapan yang tinggi agar orang ramai dapat bersama menghulurkan bantuan bagi menjayakan hasrat Madrasah Al-Muqwa untuk terus bernafas.
“Ini adalah sebahagian daripada kerja amal kami untuk membantu sedaya mungkin hasrat penganjur.
“Saya berharap selain berhibur kita juga beramal ke arah kebaikan. Semoga amalan kita diberkati, insya-ALLAH,” katanya.
Sementara itu, Mudir Al-Muqwa, Amran Johari berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1.3 juta menerusi majlis berkenaan.
Amran berkata, dia berharap pengisian program yang memaparkan tema selebriti rock dalam majlis berselawat dan berqasidah menjelang Ramadan itu berupaya meringankan beban hutang berjumlah RM285,000 ribu untuk membiayai kos operasi sebelum ini.
“Madrasah ini tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar-pelajar atau anak yatim yang menghuni kawasan ini untuk diasuh menjadi penghafaz Al-Quran dan juga alim ulama,” ujarnya.
Tambah Amran, mereka juga antara lain mempunyai tunggakan hutang bil elektrik dan air mencecah RM80,000 ribu untuk tempoh dua tahun.
Justeru, katanya, dia berharap Malam Kesadaran Amal itu akan mendapat sambutan menggalakkan.
“Kami menyasarkan jumlah sebanyak itu daripada jualan meja dan sumbangan daripada pelbagai aktiviti kebajikan yang dirancang pada malam berkenaan seperti jualan lelong barangan artis dan pelbagai lagi.
“Kami akan buka jualan tiket untuk 900 kerusi di dalam dewan dengan harga tiket RM188 saja,” katanya lagi.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#rockers #mengumpul dana #Madrasah Al-Muqwa #Awie #Ali XPDC #Ijam Medicine
;