Lima bulan peminat Taylor Swift berkhemah di luar stadium

Agensi
November 4, 2023 16:17 MYT
Konsert Jelajah Eras oleh Swift menyaksikan buat julung kalinya penyanyi berusia 33 tahun itu membuat persembahan di Argentina. - Gambar fail/Gempak
BUENOS AIRES: Ratusan peminat Taylor Swift telah mula berkhemah di luar Stadium Buenos Aires River Plate, Argentina sejak Jun lalu, dengan harapan dapat merebut tempat duduk paling hadapan dalam tiga persembahan Swift, minggu depan.
Kumpulan peminat yang dikenali sebagai Swifties itu bergilir-gilir untuk tinggal di empat buah khemah yang didirikan di luar stadium.
Majoriti peminat terdiri daripada gadis-gadis muda, dengan setiap khemah menempatkan tidak lebih 60 orang.
Dua agensi penganjur turut terlibat dalam proses mengemas kini dan menjaga keselamatan, selain menyenaraikan peraturan berkaitan giliran dan syif.
Ia bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak. Mereka yang berkhemah mendakwa diganggu oleh peminat bola sepak yang menonton perlawanan di stadium.
Malah polis juga dilaporkan terpaksa memasang pagar untuk melindungi khemah-khemah berkenaan.
"Kadang-kadang anda sedang berbaring, dan anda mendengar seseorang menjerit 'pergi kerja!' pada pukul 2 pagi.
"Anda berada di luar khemah, menjerit pada pukul 2 pagi. Bukankah anda juga sepatutnya bekerja esok?
"Kenapa ia menjadi satu gangguan? Saya yang tidur di jalanan, bukan awak," kata seorang peminat bernama Carmen.
Konsert Jelajah Eras oleh Swift menyaksikan buat julung kalinya penyanyi berusia 33 tahun itu membuat persembahan di Argentina.
Media tempatan melaporkan Jun tiket untuk tiga tarikh konsert itu habis dijual dalam masa yang singkat, dengan lebih tiga juta melayari laman web pada masa yang sama untuk membeli tiket.
#Taylor Swift #konsert #Argentina
;