Lima artis veteran dapat perintah injunksi halang mesyuarat agung Seniman esok
Bernama
Mei 31, 2013 14:35 MYT
Mei 31, 2013 14:35 MYT
Lima artis veteran hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Mesyuarat Agung Persatuan Seniman Malaysia ke-15 yang akan diadakan esok di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop membenarkan permohonan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Zambri Idrus yang mewakili persatuan dan tujuh yang lain serta peguam Wan Rohimi Wan Daud, mewakili lima artis veteran.
Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 22 Mei lepas bagi menghalang mesyuarat agung itu yang akan diadakan esok.
Mereka membuat permohonan itu atas alasan saman mereka terhadap persatuan dan tujuh yang lain belum selesai di mahkamah.
Pada 22 Feb lepas, kesemua artis itu memfailkan saman terhadap persatuan itu dan tujuh yang lain berhubung mesyuarat agung persatuan yang didakwa tidak sah.
Mereka menamakan persatuan itu, presidennya ketika itu Haron Aminar Rashid Salim atau Harun Salim Bachik, setiausaha Omar Kamarudin atau Yusof Kelana, bendahari Wafa A. Kadir dan Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, yang semasa itu pemangku timbalan presiden, sebagai defendan.
Tiga lagi ialah anggota jawatankuasa persatuan itu Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar dan Zaharudin Wahab.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif memohon satu deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Persatuan Seniman Malaysia ke-14 serta Laporan Kewangan Tahun 2011 dan minit mesyuarat agung yang dibentang pada 26 Mei 2012 adalah tidak sah dan terbatal.
Mereka mendakwa selain plaintif dan defendan, terdapat beratus-ratus lagi yang hadir pada mesyuarat itu diragui keahliannya.
Mereka juga memohon deklarasi pemilihan anggota jawatankuasa persatuan yang diadakan pada mesyuarat itu juga tidak sah.
Plaintif turut memohon ganti rugi am, teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain menuntut Harun Salim Bachik, Yusof Kelana dan Wafa membayar RM56,000 kepada persatuan itu atas dakwaan menyebabkan kerugian kepada persatuan berhubung pembelian hartanah.
Pada 28 Feb lepas, persatuan itu memfailkan permohonan bagi membatalkan saman atas alasan plaintif tidak mempunyai cukup korum untuk mendapatkan deklarasi bagi membatalkan mesyuarat agung persatuan itu mengikut peruntukan Fasal 13 Perlembagaan Seniman.
#Abu Bakar Omar
#Datuk Abdullah Sani
#Mior Ahmat Zaudi Mior Ali
#Roslinda Buang
#Sahlan Sudiran
#Seniman