Lepas dikompaun RM60,000, Neelofa nak moreh "burger"
Asyraf Roslan
April 27, 2021 17:10 MYT
April 27, 2021 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak sampai beberapa jam menerima keputusan harus membayar kompaun bernilai RM60,000 kerana melangggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis perkahwinan serta merentas negeri, Neelofa sekali lagi menjadi tumpuan.
Nama selebriti dan usahawan itu menjadi sebutan netizen selepas memuat naik gambar burger dalam hantaran di InstaStory akaun Instagram peribadinya.
Dalam entri tersebut, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor menulis kapsyen mahu menikmati burger semasa moreh malam nanti.
“Moreh burger malam ni meh,” tulis Neelofa ringkas, dan disertai dua emoji 'ketawa'.
Entri itu dipercayai menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen yang mendakwa Neelofa 'menyindir' seorang pengusaha burger di Kelantan yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000, baru-baru ini.
Menguatkan lagi andaian itu apabila, netizen mendapati gambar yang dimuat naik itu merupakan sekeping gambar daripada carian enjin Google.
Namun bagaimanapun menerusi tinjauan Astro AWANI, gambar tersebut sudah dipadam daripada akaun Instagramnya.
Selang beberapa jam dari muat naik gambar burger itu, dan setelah menerima pelbagai reaksi, Neelofa memuat naik posting terbaharu di IG Storynya:
"Ya Allah, ramainya yang salah anggap dan bersangka tidak baik... before I posted the photo, my lawyer has contacted abang burger tu and we have also contacted pihak polis untuk tanyakan details tentang kompaun dia sebab saya minta untuk bantu selesaikan bayarannya dengan izin Allah."
Pada Selasa, Neelofa serta keluarganya telah dikenakan kompaun RM60,000 kerana melangggar prosedur SOP di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.