"Lentera Timur" bersama Siti Nurhaliza

Astro Awani
September 18, 2013 11:44 MYT
Istana Budaya bakal bergema dengan lagu-lagu berirama Malaysia.
Konsert "Lentera Timur" bersama Datuk Siti Nurhaliza membawakan persembahan istimewa penyanyi nombor satu negara ini bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).
Lebih 35 buah lagu pelbagai irama seperti Asli, Zapin, Samrah, Masri, Keroncong dan Joget akan dipersembahkan dalam konsert berdurasi dua jam ini nanti.
Menariknya, Siti akan turut menari yang disifatkannya seperti satu terapi.
Persembahan tambah istimewa dengan kehadiran komposer terkemuka, Pak Ngah selain penampilan istimewa seorang penyanyi veteran.
Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan mendapat sentuhan dan susunan semula oleh dua pengarah muzik terkenal iaitu Aubrey Suwito dan Mohd Yazid Zakaria daripada OTM.
Konsert yang akan diarahkan oleh pengarah dan penggiat seni berpengalaman, Lokman Ghani ini akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 22 September dan tambahan tarikh pada 24 September.
Tiket bagi konsert ini sudah mulai dijual dengan harga RM78 hingga RM518.
#Istana Budaya #Lentera Timur #orkestra #OTM #Siti Nurhaliza
;