Lengkap dengan hijab, 'Nama' cipta nama menerusi Asia's Got Talent
Astro Awani
Mac 3, 2019 13:03 MYT
Mac 3, 2019 13:03 MYT
BERHIJAB dan tanpa solekan tebal di atas pentas menjadi dua perkara yang paling diingati tentang ‘Nama’, kumpulan a cappella yang berjaya menempah tempat ke pusingan seterusnya dalam 'Asia's Got Talent'.
Malah video uji bakat mereka berempat yang diadili sendiri oleh Anggun, David Foster dan Jay Park kini menjadi trending di YouTube Malaysia.
Mereka menyanyikan lagu yang dipopularkan Lady Gaga, 'Bad Romance', dan mendapat sorakan penonton.
Empat sekawan ini merupakan alumni Universiti Malaya, yang mempunyai cita-cita besar untuk menjadi penyanyi sepenuh masa.
“Pentas ini menjadi platform untuk kami bersinar lantas membolehkan orang ramai mengenali kami,” kata salah seorang anggota Nama.
Sementara itu, rata-rata netizen memuji mereka kerana masih mengenakan tudung tatkala rancak membuat persembahan di pentas.
Bagi mereka, penting bagi penonton menilai sendiri kemampuan mereka menghiburkan penonton.
Sementara itu Anggun dan Park mengaitkan Nama dengan kumpulan “The Supremes” versi moden.
Kumpulan yang menggunakan Instagram akaun bernama 'namathemusic' ini sering membuat persembahan, termasuk di program Gema Gegar Vaganza 2018.