Lenggok Akak Girl nyanyi lagu filem Bollywood dapat 'wow' dari Shah Rukh Khan
Kohilah Sekaran
September 27, 2017 18:23 MYT
September 27, 2017 18:23 MYT
BINTANG parodi tempatan, Akak Girl atau nama sebenarnya Nur Amira Maslan nampaknya telah berjaya menarik perhatian legenda Bollywood, Shah Rukh Khan menerusi video parodi terbaharu beliau.
Menerusi laman Twitter, Shah Rukh memuji persembahan parodi (gerak bibir) Nur Amira bagi lagu hindi, Bole Chudiya - sebuah lagu petikan dari filem Kabhi Khushi Kabhi Gham lakonan Shah Rukh.
Dalam video parodi itu, Nur Amira turut menampilkan suaminya, Mohd Hafizi Marzuki, 26, yang sedang memandu dengan wajah yang selamba.
Nur Amira kemudian berkongsi tweet Shah Rukh itu dan menyatakan harapannya untuk menyanyi duet bersama pelakon itu di dalam keretanya.
“Tolong pertimbangkan saya sebagai heroin untuk filem seterus anda,” seloroh Amira di Facebooknya.
Amira, yang tinggal di Johor Bahru, meraih populariti selepas aktif memuat naik video parodi sambil menari di dalam kereta.
Amira juga pernah menjadi juara cabaran lip sync atau parodi gerak bibir di sebuah stesen radio tempatan pada tahun 2016.