'Lembut hati, muliakan ulama antara sifat ada pada Da'i Syed' - Hana Ismail

Faida Rahim
November 17, 2022 21:59 MYT
Majlis merisik yang dihadiri oleh ahli keluarga diadakan beberapa hari sebelum majlis pertunangan berlangsung pada 23 Oktober lalu. Gambar/ Hana Ismail
KUALA LUMPUR: Pengacara jelita Hana Ismail mengakui keperibadian lembut hati membuatkan dia tertarik untuk menerima kehadiran Da'i Syed untuk dijadikan bakal suami.
Hana atau nama sebenarnya Nurulhana Ismail ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu terdapat beberapa karakter menarik dimiliki tunangnya itu.
“Meskipun perkenalan kami singkat, Alhamdulillah segalanya berjalan baik atas izin Allah SWT. Keperibadian Syed yang lembut dalam tuturnya dan memiliki pengetahuan dalam bidang agama Islam membuatkan saya menerima lamarannya.
“Dalam masa sama, Syed sangat takzim dan memuliakan ulama juga sering menghadiri majlis ilmu dan jalan kami serupa. Paling utama saya jatuh hati dengan cara dia menjaga dan menggembirakan ibunya,” katanya tenang.
Kongsi Hana, sesi taaruf berlangsung pada Oktober lalu di Musollah Aisya iaitu di kediaman Datin Seri Umie Aida.
“Sesi berlangsung dalam satu jam. Selepas itu saya membuat solat Istikharah memohon petunjuk Allah sebelum membuat keputusan menerima lamaran. Begitu juga dengan Syed yang menunaikan solat Istikharah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya,” katanya tenang.
Tambah Hana, majlis merisik yang dihadiri oleh ahli keluarga diadakan beberapa hari sebelum majlis pertunangan berlangsung pada 23 Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, Hana lebih selesa untuk tidak berkongsi tarikh hari pernikahannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Saya mohon doa terbaik dari semua agar majlis pernikahan kami nanti berjalan lancar dan penuh barakah. Insya-Allah saya akan uar-uarkan nanti. Doakan kami,” akhirinya.
Berkongsi mengenai karier seni, Hana memberitahu tunangnya tidak menghalang dirinya untuk aktif dalam bidang pengacaraan selepas berkahwin.
Namun begitu, Hana memaklumkan mereka akan aktif dalam bidang perniagaan selepas bergelar suami isteri kelak.
#Da'i Syed #Hana Ismail #kahwin #pendakwah
;