Lelaki mohon maaf pada Misha Omar sebab sebar fitnah
Asyraf Roslan
Februari 18, 2019 13:42 MYT
Februari 18, 2019 13:42 MYT
USAI memberi ruang untuk pihak bertanggungjawab tampil memberi penerangan berhubung kes fitnah terhadap dirinya, penyanyi Misha Omar kini mampu menghela nafas lega kerana episod itu bakal berakhir.
Baru-baru ini, seorang individu tampil memohon maaf daripada Misha akibat dari perbuatannya itu.
Individu tersebut dipercayai telah menghubungi Misha melalui mesej peribadi di Instagram dengan menyatakan hasratnya bersama rakannya yang dipercayai terlibat dalam penyebaran fitnah untuk meminta maaf.
Lelaki berkenaan didakwa bertindak sedemikian kerana terlalu mengikut perasaan kerana artis yang diminatinya tidak memenangi sebarang anugerah pada pertandingan lagu terbitan sebuah syarikat TV swasta, baru-baru ini.
Individu yang berusia 27 tahun itu mendakwa telah memuat naik status yang berbaur fitnah itu selepas membaca status pengguna lain yang menyatakan Misha telah menggunakan sihir untuk menang.
Misha ketika dihubungi Astro AWANI hari ini menyatakan bahawa dia ingin menunggu kesemua pesalah untuk tampil dalam tempoh yang diberi sebelum mereka akan melakukan satu sidang media.
“Bagi memudahkan semua media yang menyokong saya, saya rasa baiklah saya menunggu semua untuk tampil dan kita akan selesaikan dalam masa satu hari,” katanya ketika dihubungi.
Khamis lalu, Misha telah membuat dua laporan polis berhubung isu berkenaan. Beliau diwakili oleh dua orang peguam iaitu Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim.
Misha mengakui tindakan yang diambilnya bagi mendapatkan keadilan sekali gus menjaga reputasinya sebagai anak seni yang telah dibina selama 17 tahun dalam industri seni suara.
Misha berjaya merangkul trofi 'Vokal Terbaik' selepas mempamerkan persembahan mantap melalui lagu balada, 'Sampai Bila' dalam anugerah berkenaan.