Legenda perfileman Bollywood, Kader Khan meninggal dunia

Astro Awani
Januari 1, 2019 09:20 MYT
KADER KHAN menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun di Toronto, Kanada pada awal pagi Selasa.
PELAKON veteran Bollywood, Kader Khan menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun di Toronto, Kanada pada awal pagi Selasa.
Berita kematian itu disahkan anak legenda itu, Sarfaraz Khan kepada portal berita indianexpress.com.
"Ya bapa saya meninggal dunia pagi ini. Keadaan kesihatannya tidak begitu memuaskan sejak beberapa bulan lalu. Sudah pelbagai usaha kami lakukan untuk merawat sakit beliau, namun masanya sudah tiba.
"Beliau seorang lelaki yang sangat penyayang dan begitu menyayangi mereka yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya," kata Sarfaraz.
Aktor itu dimasukkan ke sebuah hospital di Kanada selepas mengadu sukar bernafas.
Menurut Sarfaraz, bapanya juga berada dalam keadaan koma sehari sebelum pemergiannya.
Sepanjang kerjaya seninya, Kader telah membintangi lebih 300 filem selain menulis dialog untuk lebih 250 filem.
Pelakon dan penulis lakon layar tersohor India itu juga pernah menjadi sebahagian daripada tunggak kejayaan filem-filem seperti Aankhen, Main Khiladi Tu Anari, Judaai, Khoon Bhari Maang, Biwi Ho To Aisi, Bol Radha Bol and Judwaa.
Dalam kerjaya lakonan beliau sepanjang 45 tahun juga, Kader sering bekerjasama dengan seniman seperti David Dhawan dan Govinda sekitar tahun 1990-an.
Gandingan trio popular itu menghasilkan filem-filem pecah panggung seperti Saajan Chale Sasural, Hero No. 1, Coolie No. 1, Dulhe Raja dan Haseena Maan Jaayegi.
Selain Sarfaraz yang juga anak tunggal, Kader turut meninggalkan isteri, Hajra, seorang menantu perempuan dan cucu.
Yang perlu anda ketahui mengenai Kader Khan
1) Beliau dilahirkan di Kabul, Afghanistan pada 22 Oktober 1937.
2) Merupakan bekas pensyarah/ profesor Kejuruteraan Awam di sebuah kolej di Mumbai sebelum membuat keputusan terjun ke dalam industri filem.
3) Filem lakonan pertama Kader ialah Daag bersama aktor ternama, Rajesh Khanna pada 1973.
4) Beliau merupakan penulis skrip filem Jawani Diwani (1972) lakonan Jaya Bhaduri dan Randhir Kapoor.
#Bollywood #Kader Khan #legenda filem India #pelakon #Seniman