Legasi Sudirman wajar diteruskan - Aznil
Saiful Nujaimi Abdul Rahman
Mei 16, 2024 11:20 MYT
Mei 16, 2024 11:20 MYT
“JUJUR saya katakan sekiranya Allahyarham Datuk Sudirman masih ada, barangkali taraf dan kedudukannya ialah dilantik menjadi senator di Dewan Negara demi memperjuangkan pelbagai isu seni dan rakyat.
“Bayangkan, setelah beliau meninggalkan kita selama 32 tahun, segenap lapisan masyarakat masih mengenali dan mengagumi karyanya yang mendahului zaman”, tegas Datuk Aznil Nawawi pada sesi dialog Legenda Sudirman: 1 Dalam Seribu di Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Rabu.
Tanpa prejudis, tambah Aznil, arwah yang menjuarai Bintang RTM pada 11 Ogos 1976 itu telah mengubah pandangan masyarakat terhadap penggiat seni apabila menampilkan ‘benchmark’ baharu - iaitu artis perlulah terpelajar.
“Pada usia saya 14 tahun, sukar untuk digambarkan rasa kagum terhadap kejayaan arwah yang ketika itu adalah mahasiswa jurusan undang-undang di Universiti Malaya. Zaman itu, dunia seni dianggap sebagai bidang kerjaya yang hanya menghimpunkan mereka yang gagal dalam persekolahan," imbas Aznil.
Justeru, ujar Aznil, bermula detik itu dirinya tidak teragak-agak lagi untuk menjadikan arwah Sudirman sebagai idola - seorang insan yang layak dicontohi, tetapi bukan untuk direplikasi atau ditiru secara bulat-bulat.
“Saya menjadikan arwah idola berdasarkan tiga kualiti utamanya iaitu memiliki pencapaian pendidikan, keterbukaan fikiran dan komitmen tertinggi dalam setiap tugas yang diamanahkan.
“Sebab itulah kesemua karya arwah tiada satupun yang bersifat sambil lewa, lantaran dalam dirinya terhimpun tiga keunggulan iaitu eksklusiviti, komitmen dan profesionalisme yang mendahului zaman”, ujar Aznil lagi.
Aznil yang juga merupakan Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya itu turut menegaskan bahawa legasi Sudirman yang sebegitu wajar diteruskan oleh generasi muda dalam mengharungi era media sosial yang serba mencabar kini.
“Pada zaman ini kita perlu melakukan setiap sesuatu dengan bertunjangkan ilmu. Sesudah itu baharulah kita boleh berbicara soal keterbukaan fikiran dan penjanaan komitmen tinggi dalam setiap aspek kehidupan seharian.
“Itulah yang saya pelajari daripada arwah Sudirman, yang juga pernah mengidolakan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee semasa hayatnya. Sekali gus, begitulah lumrahnya setiap yang baik, ia pasti terus diteladani mereka yang jauhari pada sebarang zaman,” pesan Aznil kepada lebih 200 mahasiswa yang hadir.
Program dialog bersama Pengacara No1 Malaysia itu diadakan bersempena Pameran Memperingati Sudirman: Penghibur Legenda Warisan Melayu, anjuran Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Turut hadir di majlis yang dinaungi Naib Canselor UPM, Datuk Prof Ahmad Farhan Mohd Sadullah itu ialah Dekan FBMK, Prof. Madya Hazlina Abdul Halim, Timbalan Dekan (Siswazah dan Antarabangsa) FBMK, Prof Madya Zalina Mohd Kasim dan Pengarah Program, Hani Salwah Yaakup.