Lebih dari pengalaman produk 'Buatan Malaysia'

Syafique Shuib
November 9, 2012 16:35 MYT
Selepas memenangi Anugerah Filem 3D terbaik di Festival Filem 3D Los Angeles September lalu, ‘War of the Worlds: Goliath’ (WOTWG) akhirnya akan ditayangkan di negara ini pada Khamis, 15hb November.
Jalan ceritanya bermula pada tahun 1899 apabila planet Bumi tiba-tiba diserang oleh sekumpulan makhluk dari planet Marikh.
Selepas aman seketika, makhluk metalik ini kembali menyerang pada tahun 1914 dengan sasarannya bandar Manhattan, New York.
Ini tidak langsung mematahkan semangat manusia sejagat, sebaliknya bersedia untuk berhadapan makhluk itu dengan bantuan pasukan tentera antarabangsa yang dikenali sebagai A.R.E.S.
Pejuang A.R.E.S dilengkapi belon udara zeppelin, pesawat bersenjatakan pancaran cahaya dan mesin tripod pemusnah.
Plot menjadi semakin hangat bila pasukan A.R.E.S mendapat tahu bahawa makhluk asing ini sebenarnya mempunyai senjata pemusnah yang jauh lebih canggih.
Membuat penonton ternanti-nanti apakah langkah seterusnya oleh tentera manusia?
Ditayangkan di pameran komik terbesar di Amerika Syarikat, San Diego Comic Con pada bulan Julai lepas, pihak produksi pasti berdebar apabila giliran rakyat Malaysia pula menonton filem ini.
Ini kerana WOTWG adalah filem cereka sains animasi dalam paparan 3D stereoskopik digital pertama dihasilkan sepenuhnya tenaga kerja negara ini.
Filem ini dihasilkan dengan kerjasama Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan Tripod Entertainment Sdn. Bhd. dengan pelaburan sebanyak US$5 juta.
Proses pra-produksi, produksi dan pasca-produksi dilakukan di Malaysia. Malah beberapa bakat tempatan seperti Tony Eusoff dan Asha Gill turut menyumbangkan suara mereka.
Tahap kualiti filem ini sememang baik maka tidak menghairankan kerana filem ini hasil garapan Joe Pearson, seorang veteran dalam industri animasi.
Animasi 3D dan kesan bunyi yang baik turut berjaya memberi pengalaman yang menarik terutama sekali ketika adegan pertempuran antara pejuang A.R.E.S. dan makluk asing.
Bermulanya filem ini, penonton dapat merasakan ia mempunyai elemen-elemen antarabangsa. Jika konteks tidak diberikan, penonton mungkin tidak tahu bahawa ia adalah sebuah filem Malaysia.
Jalan cerita, grafik, animasi, efek dan sistem bunyi mempunyai citarasa antarabangsa dan seolah-olah ia telah dihasilkan di Hollywood.
Orang ramai akan tahu ini adalah hasil anak tempatan dengan adanya watak seperti Raja Iskandar Shah, putera Bugis dari Malaya yang disuarakan oleh Tony Eusoff.
Terdapat juga adegan solat dan juga dialog berbahasa Melayu namun anda harus menonton filem ini untuk mengetahui apakah dialog ini.
Selain jalan cerita agak mudah diramal, pihak produksi dilihat mahu membuka peluang untuk menghasilkan filem sekuel dengan memberi fokus kepada watak Patrick dan perselisihan yang dihadapinya bersama abang beliau.
Kesimpulannya WOTWG adalah satu filem yang seharusnya ditonton bukan sahaja kerana ia bersifat patriotik.
Selepas 80 minit menonton dengan menggunakan kacamata 3D, penonton pasti dapat menikmati pengembaraan filem ini kerana dibantu jalan ceritanya yang menarik selain diperkuatkan dengan kesan efek dan sistem bunyi yang berkualiti.
Anda tidak akan merasa seperti dipaksa menontonnya semata-mata kerana ia berlabelkan ‘Buatan Malaysia’.
#3D #science fiction #War of the Worlds Goliath
;