'Lebih baik saya neutral'- Jamal Abdillah tarik diri dari Muafakat Nasional

Faida Rahim
Disember 17, 2022 17:07 MYT
Jamal antara 30 individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN memaklumkan Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa sendiri menjemputnya menyertai NGO itu.- Instagram/jamalabdillahofficial
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah memaklumkan menarik diri dari menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) atas faktor prinsip yang disifatkan tidak sesuai dengan dirinya.
Jelas Jamal, beliau memaklumkan ramai peminatnya yang menyuarakan pandangan agar menarik diri dari dunia politik.
“Saya dengan rasa rendah diri ingin menarik diri dan politik tidak sesuai dengan prinsip saya sebagai penghibur. Saya menginginkan semua orang menyukai saya yang mana, peminat saya juga berada dalam parti-parti politik, sedangkan ramai meminta saya menarik diri.
"Keluarga, sahabat dan peminat-peminat mohon saya melakukan itu. Saya pun berpendapat lebih baik saya neutral dan kalau ingin melontarkan pandangan, biarlah dengan cara yang tersendiri," katanya kepada portal Harian Metro.
BACA: Noh Omar, Zuraida, Jamal Abdillah, Ridhuan Tee antara 30 Ahli Dewan Tertinggi MN
Penyanyi berusia 63 tahun itu turut berterima kasih kepada pihak MN yang menawarkan peluang menyertai NGO itu dalam usaha memperjuangkan kemakmuran negara.
"Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang menjemput saya menyertai MN dan yakin dengan diri saya. Memang sebagai bapa dan ketua keluarga, tiada lain yang saya inginkan untuk negara yang tercinta melainkan sebuah negara aman, bersatu padu, makmur, dan sejahtera," katanya.
Terdahulu, Jamal antara 30 individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN memaklumkan Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa sendiri menjemputnya menyertai NGO itu.
#Annuar Musa #NGO #Muafakat Nasional #Datuk Jamal Abdillah
;