Lebih 12,000 tonton jelajah OlaBola Musical, bakal 'pulang' ke Lembah Klang

Madiha Abdullah
September 16, 2019 21:32 MYT
Selepas tiga lokasi, jelajah OlaBola Musical catat lebih 12,000 penonton. - Enfiniti
Pengarah OlaBola Musical Merdeka Tour, Puan Sri Tiara Jacquelina cukup berpuas hati dan gembira dengan sambutan yang diterima di tiga lokasi jelajah yang disinggahi mereka, setakat ini.
Tiga lokasi tersebut ialah Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu, yang menyaksikan pementasan itu menerima lebih 12,000 penonton keseluruhannya.
Selain itu, persembahan di Kuching yang distrim secara langsung melalui Facebook, turut menerima sambutan membanggakan dengan lebih 64,000 tontonan.
"Ia satu perkara yang hebat, membawa keajaiban teater, muzik dan seni persembahan ke seluruh negara. Kebanyakan yang datang menonton adalah mereka yang kali pertama merasai pengalaman menonton teater.
"Saya berbesar hati dapat mementaskan OlaBola ke seluruh negara dengan sokongan rakan-rakan korporat kami. Ini hadiah yang bermakna sempena bulan kemerdekaan," kata Tiara.
Jelajah pementasan itu akan bersambung di Auditorium RTM, Kuantan pada 21 September ini.
Dalam pada itu, peminat di Lembah Klang sekali lagi berpeluang untuk menonton OlaBola Musical apabila kerajaan negeri Selangor menyatakan minat untuk mementaskannya sebagai penutup kepada siri jelajah berkenaan.
"Kami menerima banyak permintaan daripada peminat yang merindui dan mahu merasai sekali lagi pengalaman menonton OlaBola Musical.
"Ini satu berita baik, di mana kami mungkin akan membawa OlaBola Musical 'pulang' selepas menjelajah dan menyebarkan mesej perpaduan ke serata negara," tambah Tiara.
OlaBola Musical sebelum ini telah dipentaskan di Istana Budaya untuk dua musim, iaitu 2018 dan 2019.
#Kota Kinabalu #Kuantan #Kuching #Merdeka #OlaBola Musical #OlaBola Musical Merdeka Tour #Tiara Jacquelina
;