Layak ke Grand Final WCOPA 2024 di Hollywood, Umai tak lupa pesan Datuk Siti Nurhaliza

Gempak
Julai 5, 2024 19:56 MYT
Tidak hanya nasihat, kata Umai, Siti juga turut menitipkan beberapa pesanan berguna buat dirinya. -Gempak
ANAK saudara kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Umairah, 13, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya ke peringkat akhir World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 yang akan berlangsung di Long Beach Performing Arts Center, Sabtu ini.
Rasa syukur berjaya bawa nama Malaysia
Umai dan ibunya, Siti Saerah ketika dihubungi Gempak memanjatkan rasa syukur dan bangga kerana berjaya membawa nama Malaysia hingga ke negara luar.
“Alhamdulillah saya berasa bangga kerana usaha dia selama ini, bakat dia sejak daripada kecil lagi yang Mak Iti (Datuk Siti) nampak dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan.
“Alhamdulillah berjaya sampai hingga ke peringkat akhir, semoga anda semua mendoakan kejayaan Umai untuk pulang sebagai juara,” katanya.
Pesan Datuk Siti pada Umai
Mengulas lanjut mengenai pertandingan tersebut, Umai memaklumkan ada meminta nasihat daripada ibu saudaranya itu.
Tidak hanya nasihat, kata Umai, Siti juga turut menitipkan beberapa pesanan berguna buat dirinya.
“Saya ada juga minta nasihat Mak Iti, dia pesan supaya saya jangan malu, berikan sehabis baik, yakin dengan diri sendiri dan banggakan nama Malaysia serta keluarga,” katanya.
Reaksi Datuk Siti bila tahu Umai ke final
Ketika ditanya mengenai reaksi Siti sebaik sahaja mengetahui berita baik itu, Saerah berkata kakaknya meluahkan rasa bangga.
“Mak Iti dah tahu, kami beritahu dalam group keluarga dan dia kata good job, buat yang terbaik dan tunjukkan pada semua yang Umai ada bakat tersendiri.
“Saya pasti Mak Iti juga akan sentiasa memberikan sokongan dan berada di belakang Umai. Doakan Umai ya,” ujarnya.
Terdahulu, kejohanan ini berlangsung di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat, dari 28 Jun hingga 6 Julai.
Untuk info, penyertaan pasukan Malaysia dalam kejohanan ini adalah peluang emas bagi karyawan tanah air untuk menonjolkan bakat kepada penggiat seni Hollywood dan menyerlahkan diri di arena antarabangsa. -Gempak
#Siti Nurhaliza #WCOPA 2024 #Umairah #World Championships of Performing Arts #Siti Saerah
;