'Lawatan ke Langkawi bukan untuk berbulan madu, kami patuh SOP' - Neelofa

Astro Awani
April 5, 2021 20:46 MYT
Neelofa memohon agar diberikan ruang untuk menyelesaikan kontroversi membabitkannya secara profesional mengikut prosedur sepatutnya. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Pengacara dan pelakon popular, Neelofa menegaskan lawatannya ke Langkawi bersama suami, Haris Ismail atau PU Riz, bukan untuk berbulan madu sebaliknya atas urusan kerja.
Katanya, perjalanan itu juga bukan dibuat secara spontan, sebaliknya sudah dirancang lebih awal dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan termasuk mendapat kebenaran polis.
"Saya ingin menyelesaikan semua perkara berkaitan kerja sebelum Ramadan ini. Syukur semuanya sudah berjaya dilunaskan. Sepanjang berada di sana, kami juga mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Neelofa pada masa sama, memberi jaminan akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung kontroversi yang terpalit dengan dirinya sejak kebelakangan ini termasuk dakwaan majlis pernikahannya di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu, tidak mematuhi SOP.
"Saya sedia bekerjasama (dengan polis). Namun, saya minta diberikan ruang untuk saya bantu siasatan sama ada saya melakukan kesalahan atau tidak. Biar saya selesaikan secara baik dan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
"Saya 'respect' (hormat) semua orang (media) di sini nak tanya benda yang sama. Namun, saya juga nak minta kepada rakan media yang lama saya kenal untuk berikan ruang supaya saya boleh selesaikan hal ini secara profesional bersama dengan pihak yang berkenaan," lapor Harian Metro.
Siasatan | Polis akan panggil Neelofa, suami
Beliau berkata demikian pada majlis kerjasama sandal Fipper dan aplikasi The Noor di Putrajaya pada Isnin.
Hiburan | Neelofa dah bergelar isteri kepada PU Riz
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan terbabit akan dikompaun sekiranya siasatan polis mendapati kunjungan mereka ke Langkawi melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mengenai kertas siasatan membabitkan kes pelanggaran SOP majlis pernikahan pula, Abdul Hamid dilaporkan berkata, ia dijangka siap dalam minggu ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, polis juga akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan mereka bagi melengkapkan siasatan.
#Neelofa #PU Riz #SOP #pematuhan SOP #kontroversi #Majlis pernikahan Neelofa #neelofa tampil #menjelaskan #menegaskan #mematuhi SOP #bulan madu #langkwi
;