Lanun Pirates of the Caribbean, Tamayo Perry maut diserang jerung

Gempak
Jun 25, 2024 13:19 MYT
Perry diserang jerung sewaktu melakukan aktiviti luncur air di Pantai Malaekahana, Honolulu, Hawaii. - Gempak
SALAH seorang aktor yang membawa watak lanun dalam saga Pirates of the Caribbean, Tamayo Perry dilaporkan maut diserang jerung.
Perry yang muncul dalam Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides, siri keempat filem fenomena tersebut diserang jerung sewaktu melakukan aktiviti luncur air di Pantai Malaekahana, Honolulu, Hawaii.
Akibat mengalami luka dan cedera parah, Perry diumumkan meninggal dunia oleh paramedik pada usia 49 tahun, lapor BBC.
Selain terbabit dengan filem yang diterajui Johnny Depp itu, Perry juga berlakon dalam naskhah seperti Blue Crush dan Hawaii Five-O.
Penyelamat pantai
Di luar konteks dunia lakonan, Perry merupakan seorang peluncur air yang hebat dan penyelamat pantai yang disenangi ramai, demikian kenyataan rasmi yang dikeluarkan kepada media.
“Perry adalah salah seorang penyelamat pantai legenda dan kehilangannya merupakan satu tragedi yang amat menyedihkan,” kata kenyataan tersebut lagi.
Sebelum maut diserang jerung, Perry dalam salah satu temu bual sebelum ini pernah mendedahkan telah berdepan banyak insiden sewaktu meluncur air dan melakukan kerja menyelamat yang hampir meragut nyawanya.
*Artikel disiarkan di Gempak
#pelakon Pirates of the Caribbean #Tamayo Perry #meninggal dunia #diserang jerung
;