Langkawi Writers' Festival bawa penulis tempatan dan antarabangsa
Irwan Muhammad Zain
Ogos 26, 2022 00:15 MYT
Ogos 26, 2022 00:15 MYT
BUAT julung-julung kalinya, sebuah acara besar melibatkan ramai penulis ternama akan berlangsung di Pulau Langkawi pada 1 hingga 4 September nanti.
Langkawi Writers’ Festival bakal membawakan penulis tempatan dan antarabangsa, ahli ekonomi, penyair, wartawan dan intelektual.
Menurut pengarah festival ini, Morne Hashim, kesemua yang terlibat akan bersama-sama meneroka idea, berkongsi cerita dan mencetus topik perbualan.
"Kami meraikan rasa ingin tahu dan pengembaraan intelektual. Program kami didorong oleh keinginan untuk mencetuskan idea, untuk membuat kami bercakap dan memberi kami masa dan tempat untuk terlibat dengan dunia," katanya kepada Astro AWANI.
Program sepanjang empat hari akan di isi dengan forum, tayangan filem, persembahan teater kanak-kanak, bicara karya, bicara filem dan malam puisi.
Antara panel yang terlibat ialah Sasterawan Negara ke-10, Dato Dr. Anwar Ridhwan, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tuan Haji Nasaruddin; Presiden Pena, Dr. Saleeh Rahamad, U-Wei Haji Saari, Sabri Yunus, Mohd Shah Ibrahim, Zainal Rashid Ahmad dan beberapa nama lain.
Manakala penulis tamu pula Eka Kurniawan didatangkan dari Jakarta dan Robert Yeo dari Singapura.
Langkawi Writers’ Festival akan berlangsung di Panggung Seni Kota Mahsuri dianjurkan oleh Morne Art Gallery dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Lembaga Pembangunan Langkawi, Balai Seni Negara Langkawi, John Beaufoy.