Langit Petang: Belum masuk kedai, cetakan pertama sudah habis
Irwan Muhammad Zain
Februari 20, 2016 10:03 MYT
Februari 20, 2016 10:03 MYT
Novel Langit Petang karya Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said yang diterbitkan kembali oleh Lejen Press habis ditempah biarpun masih belum memasuki pasaran.
Menurut Pengarah Urusan Lejen Press, Aisamuddin Asri, novel itu mula ditempah sejak pihaknya memaklumkan tentang penerbitan Langit Petang menerusi media sosial pada hujung Januari lalu.
"Alhamdulillah, sejak kami maklumkan di media sosial pada hujung Januari lalu, Langit Petang sudah mula mendapat tempahan dari kedai buku, ejen dan pelangga tetap kami.
"Kiranya cetakan pertama berjumlah 3,000 naskah sudah sold out," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Aisamuddin menjelaskan, Lejen Press memilih untuk menerbitkan kembali karya Samad kerana merasakan ada keperluan untuk sebuah karya besar dicetak semula untuk dibaca golongan muda.
Ini kerana, karya-karya Samad sudah sukar ditemui sedangkan generasi muda memerlukan karya seperti itu untuk dijadikan bahan bacaan mereka.
"Market besar Lejen menerusi novel atau buku yang kami terbit dan jual di kedai I Am Lejen Shop adalah golongan pelajar dan belia atau boleh kita sebut Generasi Y.
"Kelompok ini ramai yang tak sempat merasa karya Pak Samad (A.Samad Said), jadi saya merasakan ada keperluan untuk saya terbitkan kembali karya-karya beliau.
"Kebetulan kami (I Am Lejen Shop) sebelum ini ada menjual beberapa karya Pak Samad dan dari situ kami nyatakan minat untuk menerbitkan karya beliau." ujar beliau.
Langit Petang diterbitkan kali pertama pada 1980 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Novel Langit Petang yang diterbitkan kembali oleh Lejen Press akan dijual pada harga RM20 senaskah.
Selepas Langit Petang, Lejen Press bakal menerbitkan kembali novel pertama karya Samad berjudul Salina yang dikeluarkan pada 1961 oleh DBP.
"Mac nanti kami (Lejen Press) akan menerbitkan Salina," jelas Aisamuddin.
#A. Samad Said
#Aisamuddin Asri
#DBP
#Dewan Bahasa dan Pustaka
#Langit Petang
#Lejen Press
#novel
#Pak Samad