Langgar warga emas dan tidak tolong mangsa, DJ K-pop Yesong dipenjara
Gempak
Disember 16, 2024 15:16 MYT
Disember 16, 2024 15:16 MYT
DJ Yesong atau nama sebenarnya, Ahn Ye Song dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Agung di Korea Selatan selepas didapati bersalah melanggar sehingga mati seorang warga emas.
Insiden berlaku pada Februari lalu menyaksikan DJ berusia 23 tahun itu melanggar seorang penunggang motosikal berusia 50 tahun di Gangnam sehingga maut sekitar pukul 4 pagi waktu tempatan, lapor AllKPop.
Yesong didapati memandu dalam keadaan mabuk. Wanita itu juga didapati cuba melarikan diri daripada lokasi kejadian dan tidak mahu menolong mangsa yang dilanggar.
Dia malah tidak memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga ditahan secara paksa selepas kejadian berlaku.
Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara kerana menyifatkan jenayah yang dilakukan DJ Yesong sebagai serius dan wanita itu cuba melarikan diri daripada tempat kejadian.
Selepas rayuan pertama, mahkamah meringankan hukuman kepada 10 tahun.
Namun hukumannya sekali lagi diringankan kepada lapan tahun selepas DJ Yesong membuat rayuan dan pertemuan bersama keluarga mangsa dan mengakui kesilapan yang dilakukan. -- Gempak