Lancar muzik video, DSV sasar 100 juta tontonan
Gempak
Oktober 10, 2017 11:11 MYT
Oktober 10, 2017 11:11 MYT
JUTAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida (DSV) melancarkan muzik video rasmi lagu ‘I Am Me’ dengan meletakkan sasaran 100 juta tontonan dalam tempoh tiga bulan.
“Alhamdulillah, muzik video untuk single pertama saya sudah pun dimuat naik di laman YouTube DSV Entertainment. Selepas ini, saya akan terus menggiatkan sesi promosi untuk memperkenalkan muzik video tersebut. Bukan sahaja Malaysia, malah di luar negara.
“Saya akan jadikan hasrat saya sebagai satu realiti dan serius untuk memperluaskan lagi populariti lagu ‘I Am Me’ sehingga ke peringkat antarabangsa,” kata DSV.
Bercerita mengenai muzik video itu, konsep dan jalan cerita datang dari gabungan idea DSV dan pengarah muzik video tersebut, Ghaz Abu Bakar.
“Saya mengeluarkan idea asal. Ghaz memberikan nasihat dan buah fikiran serta idea baharu yang bersesuaian dengan konsep muzik video ‘I Am Me’.
“Penggambaran juga dilakukan di rumah saya yang terletak di Ipoh. Saya berpuas hati dengan hasil akhir yang ditonjolkan oleh Ghaz,” katanya lagi.
Video lirik lagu ‘I Am Me’ mendapat tontonan hampir 8.9 juta pengguna di laman YouTube.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @datoserivida