Lagu 'Terang Bulan' buka tirai filem kontroversi Soekarno

Azyyati Ahmad
September 30, 2014 23:33 MYT
Soekarno, hasil karya pengarah terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo akan ditayangkan secara extended version di sini
Filem yang berkisarkan biografi Presiden pertama Indonesia, Soekarno membuka tirainya dengan babak yang berlatarbelakangkan lagu ‘Terang Bulan’ iaitu irama asal lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku.
Filem yang turut mencetuskan kontroversi di negaranya ini bakal ditayangkan di pawagam terpilih bermula 2 Oktober ini.
Soekarno (Extended Version), berdurasi 2 jam 30 minit ini hasil karya pengarah terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo.
Soekarno telah ditayangkan di Indonesia pada akhir tahun 2013, pada awalnya mendapat tentangan dari keluarga Bapa Kemerdekaan Indonesia itu terutamanya anaknya, Rachmawati Soekarnoputri.
Kontroversi tercetus apabila filem berkenaan diarahkan agar dihentikan tayangannya di Indonesia kerana watak Soekarno dikatakan tidak sesuai dilakonkan oleh Ario Bayu.
TEMUBUAL BERSAMA PENGARAH DAN PELAKON UTAMA FILEM SOEKARNO
Antara yang hadir di tayangan perdana Soekarno (dari kiri) Ario Bayu, Tika Bravani, Maudy Koesnaedi dan sutradara Hanung Bramantyo
Selain Ario sebagai Soekarno, pelakon yang turut membintangi filem ini adalah Lukman Sardi sebagai Hatta, Tanta Ginting sebagai Sjahrir, Maudy Koesnaedi sebagai Inggit Garnasih, Tika Bravani sebagai Fatmawati dan ramai lagi.
Hanung yang ditemui di tayangan perdana filem Soekarno berkata, kesemua pelakon yang dipilih adalah sesuai dengan karakter yang dibawa.
“Semua pelakon punya kesesuaian dengan karekter yang dibawa. Misalnya Ario dipilih kerana Soekarno itu adalah seorang yang gagah, tampan dan berkarisma. Kesemua ciri itu ada pada Ario” katanya.
Menurut Hanung yang merupakan sutradara bagi filem seperti Perahu Kertas, Perempuan Berkalung Sorban dan Ayat-Ayat Cinta, semangat patriotik bukan hanya diterapkan dalam filem sejarah begini malah bagi kesemua filem-filem arahannya.
Ario Bayu sebagai Soekarno
Manakala Ario mengakui sukar baginya untuk membawa watak sebagai seorang pemimpin yang dekat di hati rakyat Indonesia.
“Saya sendiri kurang mengetahui mengenai sejarah negara, memandangkan saya sendiri membesar di New Zealand, jadi apa yang lakukan adalah melakukan banyak kajian mengenai Soekarno” katanya.
Bila ditanya mengenai kontroversi yang tercetus, Ario berkata setiap orang mempunyai pendapat peribadi tersendiri setelah menonton filem ini.
“Apa yang penting saya melakukan apa yang telah diarahkan oleh Hanung. Soal kontroversi itu mungkin tidak ada kerana pada saat filem ini ditayangkan di hadapan keluarga Soekarno, mereka sukakannya” katanya yang turut hadir bersama Tika dan Maudi di tayangan perdana filem tersebut.
Antara babak menarik di dalam filem Soekarno
Ini merupakan kali pertama Ario bekerjasama dengan Hanung dan sebelum ini pernah membintangi filem seperti Java Heat, Catatan Si Boy dan Laskar Pelangi.
Sementara itu, menurut Tika yang membawa watak wanita pertama Indonesia, Fatmawati berkata Hanung banyak membantunya dalam merealisasikan watak tersebut.
"Selain research yang saya lakukan sendiri, Hanung juga banyak membantu.
Apa yang sukar melakonkan watak Fatmawati adalah saya perlu menzahirkan rasa sanjung kepada Soekarno yang berusia 19 tahun lebih tua dari Fatma, sedangkan realitinya usia saya dan Ario tidak banyak beza" katanya yang ditemui di majlis yang sama.
Tayangan perdana yang berlangsung di panggung TGV One Utama pada Isnin, turut dihadiri oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri serta Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Selain itu, beberapa selebriti tempatan seperti Datuk Yusof Haslam, Puan Sri Tiara Jacquelina, Aaron Aziz, Sofia Jane, Vanida Imran dan ramai lagi turut memeriahkan majlis.
#Ario Bayu #Hanung Bramantyo #Maudy Koesnaedi #Soekarno #Tika Bravani
;